KUALA LUMPUR 3 Mei - Polis mengesahkan menerima laporan kehilangan Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP), Kementerian Pendidikan, Zaidi Yazid, yang dilaporkan tidak dapat dihubungi keluarganya selepas keluar rumah, 30 April lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan, ketika dihubungi BH sebentar tadi, berkata polis menggunakan segala pendekatan termasuk aspek teknikal dalam usaha mengesan mangsa.

"Keluarganya melaporkan kehilangan Zaidi di Balai Polis Bandar Baru Bangi pada jam 3.36 petang, semalam.

"Siasatan dijalankan mengikut kategori 'orang hilang' dan buat masa ini, kita sahkan kes tiada kaitan dengan elemen jenayah," katanya.

Bagaimanapun, katanya siasatan polis menjurus kepada pelbagai kemungkinan.

Berita kehilangan Zaidi tersebar luas di media sosial selepas anak perempuannya memuat naik status di Facebook malam tadi, memohon bantuan orang ramai mencari bapanya.

Menurut akaun Facebook Zaheera Zaidi, bapanya dikatakan keluar dari rumah di Seksyen 4 Bangi pada jam 6 petang, 30 April lalu.

"Minta bantuan kawan-kawan semua. Kalau ada terjumpa ayah tersayang saya mohon hubungi saya.

"Last (kali terakhir) saya jumpa (bapa) Sabtu 30 April jam 6 petang. Dia keluar rumah jam 6 petang 30 April dan katanya nak tidur di INTAN Bukit Kiara.

"Kali terakhir hubungi 1 Mei (semalam) jam 8 pagi. Please (tolong) kawan-kawan. Bantu saya," katanya.

Difahamkan ketika hilang, mangsa memandu kenderaan jenis PROTON Inspira berwarna hitam.