SABAK BERNAM 30 Mei - Mengenali bekas Anggota Parlimen Sungai Besar, Allahyarham Datuk Noriah Kasnon yang mesra dipanggil 'Nin' oleh anggota keluarganya, beliau seorang yang sangat dekat di hati penduduk dan seorang wakil rakyat yang rajin turun padang.

Bagi penulis yang pernah mengikuti siri kempen Noriah pada PRU13, arwah sangat komited dalam tugasnya walaupun beberapa kali diserang‎ migrain dan kehilangan suara ketika berkempen.

Pernah sekali ketika membuat liputan aktiviti kempen beliau, wanita bertubuh kecil itu terpaksa berkejar ke klinik kerana diserang migrain, namun selepas menerima rawatan beliau meneruskan semula programnya dan jelas tidak mahu menghampakan penduduk tempatan yang telah menantikan kehadirannya.

Ketika ditanya mengenai perkara itu, Noriah yang juga mesra dipanggil 'kakak' oleh penduduk setempat menjawab: "Walaupun saya kalah dengan cuaca (tidak sihat) saya mempunyai tanggungjawab lebih besar untuk memastikan sokongan pengundi tetap bersama BN (Barisan Nasional) dan seterusnya membantu BN merampas semula Selangor daripada pakatan pembangkang."

Hasilnya, pada PRU itu, Noriah berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Besar untuk penggal ketiga apabila menewaskan calon dari Pas, Mohamed Salleh M Husin dengan majoriti 399 undi.

Sungguhpun majoriti undi yang diperoleh agak tipis, namun, penduduk di kawasan Parlimen itu yang majoritinya petani, kakitangan kerajaan, nelayan dan peniaga berterusan menerima manfaat dan bantuan daripada Kerajaan Persekutuan di bawah BN, serta hasil inisiatif Noriah, yang juga bekas Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Noriah, Muslimin Yahaya berkata, majikannya itu sangat menitikberatkan pembangunan pendidikan dan ekonomi di Parlimen Sungai Besar.

"Arwah banyak fokus kepada pembangunan ekonomi melalui program peningkatan pendapatan dan sepanjang tempoh berkhidmat, lebih daripada 1,000 isi rumah mendapat bantuan, antaranya mesin jahit, sampan, mesin pengisar dan lain-lain.

"Dalam pembangunan pendidikan, arwah peruntukkan untuk menaikkan indeks komposit peratusan melalui pelan strategik sekolah di mana bantuan sentiasa diberi kepada sekolah termasuk untuk keselesaan bilik guru, surau dan sebagainya.

"Pernah juga pusat khidmat (Parlimen Sungai Besar) anjurkan program motivasi keibubapaan dan pelajar selama beberapa tahun di semua sekolah di kawasan Parlimen ini," katanya kepada Bernama.

Selain itu, Muslimin berkata Noriah turut mengutamakan aspek sosial dan kebajikan penduduk di Parlimen itu seperti memberi bantuan untuk membaik pulih rumah, di mana arwah sendiri akan turun ke lokasi selain mengadakan sambutan ulang tahun kelahiran penduduk setiap bulan di lokasi yang ditentukan.

Dari segi pembangunan fizikal pula, katanya, Noriah hanya fokus kepada infrastruktur seperti jalan dan bangunan tetapi ia bergantung kepada permohonan penduduk kerana arwah percaya pihak yang memohon itulah yang sangat memerlukan.

"Sepanjang tempoh berkhidmat, Noriah terlibat secara langsung dalam memastikan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Panjang dan klinik di Simpang Lima siap segera kerana dua projek ini terlalu lambat disiapkan sehingga menjadikan rakyat tidak seronok.

"Yang paling YB (Yang Berhormat) suka adalah program ziarah kasih ke rumah-rumah termasuk ke jabatan-jabatan persekutuan dan sepanjang lapan tahun berkhidmat di Parlimen ini, lebih daripada 1,000 rumah telah dilawati sambil hulur bantuan dan biasanya lawatan ini disertai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Skuad Sayang (Pergerakan Wanita UMNO)," katanya.

Bagaimanapun, Muslimin berkata beberapa program yang dirancang sebelum ini tidak sempat dilaksanakan Noriah berikutan tragedi helikopter yang meragut nyawanya dan lima yang lain di Sebuyau, Sarawak, pada 5 Mei lepas.

Antaranya, penyampaian bantuan baja, peralatan sukan untuk anak muda, bantuan kepada nelayan darat serta penyampaian telekung dan sejadah kepada 100 buah surau.

Muslimin berkata sebahagian perancangan itu telah dilaksanakan beliau bagi pihak arwah selepas tragedi tersebut.

Bagi pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Raub, Pahang, Che Hamdan Che Mohd Razali pula, warga Sungai Besar beruntung kerana sebelum ini mendapat anggota Parlimen yang dilantik menjadi anggota kabinet.

Beliau berkata ia merupakan satu kelebihan kerana Parlimen itu berada di negeri yang ditadbir oleh parti berbeza dengan parti pemerintah di peringkat persekutuan.

"Pengalaman Allayarham Noriah di empat kementerian sebelum ini bermula dengan Setiausaha Parlimen di Kementerian Penerangan pada tahun 2004 dimanfaatkan sepenuhnya dalam memberi sumbangan kepada penduduk Sungai Besar.

"Ini dapat dilihat berdasarkan aktiviti-akitiviti yang dijalankan dalam Parlimen ini yang mana fokusnya adalah membangunkan masyarakat luar bandar dan mengukuhkan institusi kekeluargaan," katanya.

Parlimen Sungai Besar yang berkeluasan 64,483.24 hektar, mempunyai 42,836 pengundi berdaftar dengan 67.18 peratus pengundi Melayu, 30.68 peratus pengundi Cina, 1.91 peratus pengundi India dan 0.23 peratus pengundi dari kaum lain.

Ada dua kawasan Dun berada di bawah Parlimen itu iaitu Sungai Panjang yang diwakili Adun dari BN, Budiman Mohd Zohdi dan Sekinchan yang diwakili Adun dari DAP, Ng Suee Lim.

Melihat kepada jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh Noriah selama tiga penggal berkhidmat di Parlimen Sungai Besar, penduduk di kawasan itu tiada alasan untuk menggantikan Allahyarham dengan wakil rakyat daripada parti lain.

Perjuangan seorang srikandi bernama Noriah Kasnon perlu diteruskan sudah tentu oleh pengganti daripada BN yang pasti mampu menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan wanita itu dengan baik.

Pada Jumaat, BN mengumumkan Budiman sebagai calon untuk mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Besar dan diyakini mampu meneruskan legasi parti serta kerja keras Noriah di kawasan itu.