KUALA LUMPUR 23 Mei - Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengingatkan BN agar tidak berasa selesa dalam usaha mengekalkan kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar, bulan depan.

Menurutnya, Umno perlu bersatu dan bergabung tenaga demi berdepan ancaman pembangkang.

"Jangan pandang ringan, kita kena kekalkan kemenangan cemerlang Umno di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

"Berdasarkan kepada rekod lalu, memang Umno tidak mempunyai masalah besar untuk menang di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, tetapi itu bukan jaminan selesa," katanya melalui catatan di blog Umno Cheras.

Dua penyandang BN di kedua-dua Parlimen itu meninggal dunia dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, awal bulan ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian serentak dia dua-dua kawasan pada 18 Jun ini.

Katanya, hanya sokongan padu dan tanpa perbuatan mensabotaj parti akan memberi kekuatan kepada jentera Umno untuk menyaingi ancaman parti lawan.

Dalam pada menyentuh soal krisis pembangkang yang berebut kerusi di kedua-dua kawasan, Syed Ali berkata, ketidakserasian pembangkang itu akan memberi keuntungan kepada Umno.

"Rakyat tahu antara parti pembangkang sudah tidak ada kesepakatan.

"Ini juga secara jelas memberi gambaran betapa pembangkang tidak mempunyai agenda untuk kepentingan rakyat," katanya.