KUALA LUMPUR 14 Mei - Timbul tanda-tanya bagaimana kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sg Besar akan berjalan sekiranya PAS sekali lagi bertembung dengan calon Pakatan Harapan (PH), soal Pemerhati Politik Serantau Dr Baharuddin Aziz.

Ujar beliau, umum mengetahui PAS masih lagi mempunyai hubungan tahaluf siyasi dengan PKR di Selangor walaupun sudah lama meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) yang kini dikenali sebagai PH.

Katanya lagi, pastinya ia akan menjadi satu cabaran buat PKR untuk memilih samada membantu calon PH ataupun PAS ataupun pakatan itu 'bermurah hati' memberi laluan kepada parti Islam itu untuk bertanding secara satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN).

"Kalau berlaku tiga penjuru, PAS terpaksa berdepan dengan satu lagi penentang dikedua-dua kawasan. Disitu akan memberi kelebihan kepada calon BN.

"Disitulah akan berlaku satu konflik (pilih sokong calon PAS atau PH), di mana PKR terpaksa mengambil jalan di mana mereka dilihat saksama dan itu adalah satu perkara yang agak sukar untuk dilakukan," katanya ketika ditemubual Antarapos.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar diadakan serentak pada 18 Jun 2016.

PRK terpaksa diadakan berikutan kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong apabila penyandangnya Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad meninggal dunia selepas terlibat nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, 5 Mei lepas.

Malah Baharuddin juga melihat pembangkang kini kian lemah berdasarkan prestasi mereka baru-baru ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

"PAS dan DAP sudah berpecah, dalam kalangan PAS pun berpecah. Itu yang menjadi tanda tanya saya, adakah PAS boleh memberi tentangan yang hebat seperti dulu? Sekarang ni pembangkang pun mengalami krisis kesepakatan seperti apa yang berlaku di Sarawak. Mereka tidak dapat memberi kata sepakat dalam pembahagian kerusi dan bertembung antara satu sama lain," katanya.

Selain itu beliau juga yakin pembangkang bakal berdepan dengan cabaran untuk memancing undi bukan Islam kerana jika dulu calon PAS disokong disebabkan kerjasama dengan DAP.

"Cabaran di Sg Besar adalah terdapat pengundi-pengundi bukan Melayu, apakah mereka ini akan mengundi pembangkang atau PAS? Saya rasa tidak, dulu mungkin pengundi bukan Islam akan mengundi PAS tapi kali ini mereka dah serik," ujarnya lagi.

Jumlah pengundi Cina di Sg Besar agak tinggi iaitu lebih kurang 33%.

Hubungan PAS dengan DAP terputus sebelum ini ekoran parti yang didominasi kaum Cina itu menentang pelaksanaan hukuman hudud di Kelantan.

Ikatan itu terputus pada Muktamar PAS lalu setelah parti itu 'ditekan' dengan serangan tanpa henti DAP berhubung perjuangan dan hasrat politik mereka.