Penganalisis berpandangan pembangkang akan mengalami lebih kerugian pada PRU14, sekiranya mereka masih mengamalkan sikap mementingkan diri dan bertelingkah sesama sendiri terutama dalam hal pembahagian kerusi yang tandingi.

Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, pertelingkahan itu akhirnya akan memberi keuntungan yang lebih besar kepada BN.

"Memang ada kalau mereka (pembangkang) masih berpecah dan masih tidak dapat mencari penyelesaian...bertanding sesama sendiri sudah semestinya rakyat akan melihat bahawa tidak ada alternatif terbaik untuk mencabar BN.

"Jadi di sini akan menjadi dua kemungkinan pertamanya orang akan undi BN, dan tidak akan mengundi pembangkang dan kedua kemungkinan rakyat akan naik menyampah dengan kedua-dua mereka (pembangkang dan BN) jadi mereka tidak pergi mengundilah," katanya memetik laporan Sinar Online.

Oleh itu, ujarnya pihak pembangkang perlu melakukan sesuatu untuk menyelesaikan isu tersebut.

"Pembangkang kena fikirkan yang terbaiklah, banyak parti ikut kepala masing-masing, sama ada DAP, PKR, Amanah dan Pas...Saya rasa perlukan satu formula iaitu sekiranya ada orang tengah yang boleh selesaikan isu ini.

"Saya rasa untuk itu mereka masih ada masa untuk lakukan, kalau tidak pembangkang boleh lupakan pilihan raya dan BN akan menang besar," katanya.

Baru-baru ini akibat pertembungan pembangkang sesama sendiri dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak dikatakan antara punca kemerosotan undi terhadap pembangkang sehinggakan DAP hilang lima kerusi.