Entah apa malangnya bagi DAP, jodoh politiknya dengan parti-parti politik yang didominasi oleh ahli-ahli politik Melayu lazimnya tidak bertahan lama. Baik dengan parti Semangat 46 mahupun PAS, ada sahaja yang tidak kena hingga menyebabkan perceraian.

Isu mengapa pemimpin-pemimpin Melayu Islam terlalu taksub dengan soal melaksanakan syariat Islam secara komprehensif dan (tetapi) agak ‘keberatan’ pula untuk merangkul semangat fahaman sekularisme masih sukar difahami DAP.

Sebenarnya jika DAP gagal menjiwai apakah ikatannya semangat syariah Islamiah dengan amalan dan fikiran politik orang-orang Melayu-Islam, selagi itulah agak mustahil untuknya menjalin kerjasama dalam apa bidang sekalipun dengan dunia politik Melayu.

Justeru, persoalan mengapa sukar sangat politikus Melayu-Islam memahami jiwa perjuangan DAP, kini bolehlah dilihat sebagai satu alasan bagi parti dominasi Cina itu berhujah kepada pengundi bukan Melayu bahawa ia sebenarnya, ‘pihak yang teraniaya’.

Pasak persoalannya ialah, bukan sekadar politikus Melayu sukar memahami fahaman sekularisme DAP, tetapi ia juga bersangkut dengan persoalan mengapa payah sangat untuk DAP sendiri mengerti sensitiviti politik Melayu?

Sejak percubaan bergabung tenaga dengan parti serpihan Umno, Semangat 46 dan kemudian PAS dalam Gagasan Rakyat yang berkesudahan dengan fasakh politik, DAP kemudian menunggu lebih sedekad sebelum membentuk gabungan baru.

Usahasama terbaik DAP dengan parti-parti politik dominasi Melayu berlaku apabila mereka menemui pemimpin Melayu yang boleh mereka percayai dalam bentuk Anwar Ibrahim yang tidak banyak mementingkan soal sentimen kaum dan agama tetapi fokus untuk menang.

Sejak kembali aktif dalam politik pada 2004, Anwar berjaya memperbetulkan sedikit kompas politik DAP terhadap isu bagaimana menjalin kerjasama politik dengan pemimpin-pemimpin Melayu.

Hasil pimpinan Anwar amat lumayan bagi DAP. Impian DAP menafikan Umno dan BN memperolehi majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat supaya tidak boleh meminda dan dan memperkenalkan undang-undang baru tercapai pada pilihanraya umum 2008.

Maka bertambahlah kayakinan DAP bahawa ia boleh menjadi parti yang tidak perlu dicurigai atau dibenci oleh orang Melayu. Tanpa menoleh ke belakang DAP bersetuju membentuk struktur kerjasama politik lebih teratur dalam bentuk Pakatan Rakyat pada 2008.

Rasa bermusuhan dengan PAS yang dianggapnya ekstrim pegangan agamanya sebelum ini pun luruh dari congakan politiknya. DAP yakin bersama Anwar, kekhuatirannya terhadap hukum hudud PAS tidak akan menjadi penghalang bagi pembinaan pakatan baru itu.

Namun tidak sampai lapan tahun dalam “kedamaian alunan utopia politik” itu DAP terpaksa berhadapan dengan realiti -- ia masih ada masalah dengan parti-parti politik pimpinan politikus Melayu – tanpa Anwar Ibrahim.

Mula-mula dengan PAS. DAP berasa bahawa PAS tidak menepati janji. DAP juga menganggap PAS rupanya lebih senang hidup bersama parti Melayu-Islam lain seperti Umno. Rasa cemburunya terhadap PAS menerpa lagi.

DAP pun menjarakkan diri dari PAS. Cara paling “membunuh” ialah menyerang wibawa presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang yang dituduh tidak menepati janji dan mahu ‘meloloskan diri’ dari ikatan perjuangan Pakatan Rakyat.

Dipasung pula dengan ‘dendam kesumat’ pemimpin-pemimpin liberal PAS yang juga mula mahu mengenepikan Hadi dari pucuk pimpinan PAS, DAP memutuskan hubungan dengan PAS secara tuntas.

Bagaimanapun masalah DAP dengan watak-watak pemimpin Melayu-Islam tidak berhenti setakat menolak PAS dan pemimpinnya. Isu itu menerpa lagi dalam hubungannya dengan sebuah lagi parti politik pimpinan Melayu iaitu PKR.

Rupa-rupanya bagi DAP, PKR juga mempunyai tabiat politik yang sama dengan pemimpin politik Melayu lain. Ini menghasung semula rasa curiga DAP pada pemikiran dan prejudis caragaya politik Melayu.

Mungkin yang agak menghiburkan DAP sedikit ialah rakan politik Melayu yang baru dikenalinya iaitu Parti Amanah Negara (PAN). Ternyata PAN mempunyai pandangan dan bacaan politik yang boleh ‘menusuk dalam arena politik Melayu’.

PAN menafsirkan apa yang berlaku dalam gelanggang politik Melayu sekarang dirancang oleh Umno! Menurut intepretasi PAN, Umno menggunakan strategi dua fasa setelah menganalisis kekuatan Pakatan Rakyat.

Teori PAN ialah, pusar kekuatan pakatan adalah Anwar Ibrahim yang mengikat rasa kebersamaan di antara PKR, PAS dan DAP. Sebab itu dikatakan Anwar perlu disingkir dari arena politik tanah air dan dipenjarakan.

PAN juga berpandangan bahawa Umno mulai ‘meracuni’ pemikiran politik pemimpin-pemimpin PAS dengan tujuan memecahbelahkan mereka dengan menggunakan peluru sentimen ulama dan profesional.

Racun politik ditabur sejak PAS mula terbabit dalam Pakatan Rakyat. Matlamat utama ialah melagakan golongan ulama dan profesional dalam PAS. Racun itu mengambil masa lebih lima tahun untuk menyakiti perpaduan dalam PAS.

Akhirnya meletuslah pertembungan ulama dan penyokong profesional dalam parti itu hingga ramai yang meninggalkan PAS untuk membentuk PAN. Begitu teliti perancangan Umno bagi PAN.

Apabila Anwar dipenjara, budaya musyuwarah di antara DAP, PAS dan PKR mula mati dan terkuburlah Pakatan Rakyat. PAS tersingkir dari Pakatan Rakyat dan PAN pula menjadi kerabat baru dalam gerakan yang diberi nama Pakatan Harapan.

Namun virus curiga kaum dan agama merasuk PKR pula. Versi sejarah PAN ini menguja DAP lebih cepat mencurigai PKR. Ini memuncak dalam Pilihanraya Negeri Sarawak apabila PKR berebut dengan DAP untuk meletakkan calon di lebih banyak kerusi DUN.

Demikian satu versi jalur pemikiran DAP mengapa jodohnya dengan parti-parti Melayu tidak panjang. Agak jelas juga pemangkinnya ialah ‘bisikan politik’ yang memberi gambaran dan harapan kepada DAP bahawa ia bukan punca perceraian politik sebelum ini.

Bisikan ini tentunya datang daripada entiti politik Melayu yang ingin meramahi dan memenangi kepercayaan DAP. Umum tentu tidak sukar membaca pihak mana membentuk pendirian politik ini.

Mungkin ini semua yang menyebabkan DAP berasa ia mempunyai “kelebihan” atau darjat politik yang lebih tinggi. Mungkin faktor ini yang mendorong DAP berfikir bahawa dalam persaingan barunya dengan PKR, ‘ia akan tetap berada di atas’.

Keputusan PRN Sarawak akan diketahui tidak sampai seminggu lagi. Jika DAP dan PKR mencatat prestasi baik tidak mustahil bak carik-carik politik, kedua parti mungkin masih boleh “dicantum” lagi.

Namun sebaliknya jika DAP mengulangi atau memperbaiki rekod PRN Sarawak 2011 (tanding 15 dan menang 12 kerusi) dan PKR gagal memperbaiki catatan bertanding 40 tapi menang tiga kerusi, DAP tentu tidak akan ‘memberi muka’ kepada PKR dalam sebarang perbincangan melanjutkan kerjasama mereka.

Keputusan sedemikian adalah dalil bagi DAP bahawa PKR ‘tidak sekufu’ dengannya di persada politik. DAP pula sudah ada sekutu baru yang sanggup mengambil alih fungsi PAS dan PKR mengabsahkan ketulusan perjuangannya untuk rakyat, termasuk Melayu.

Tiada kekesalan dan kerisauan bagi DAP jika keadaan itu berlaku kerana kali ini ia akan menjadi peneraju sistem dua parti dan bukan PKR atau PAS. Kedua-dua bekas sekutunya sudah gagal ujian kredibiliti dan integriti kerana tidak tahu menghormati janji.

Bagaimanapun jika keputusan sebaliknya berlaku, DAP akan beranggapan PKR tidak pula wajar memimpin pembangkang kerana tanpa DAP, PKR adalah kuasa penentang Umno-BN yang kerdil kerana mempunyai hanya 30 kerusi di parlimen. - Antarapos