SEKINCHAN 31 Mei - UMNO Bahagian Sungai Besar akan membantu membina semula kediaman salah seorang penduduk Parit 8 Baroh di sini yang hangus dalam kebakaran malam tadi.

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Dato' Jamal Md Yunos berkata, beliau bersama calon Barisan Nasional (PRK) Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi akan meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi menampung kos pembinaan rumah mangsa, Hamidah binti Napiah.

"Saya bagi pihak UMNO Bahagian (Sungai Besar) amat bersimpati dengan nasib yang menimpa mangsa.

"Walaubagaimanapun, saya amat bersyukur mangsa terselamat.

"Saya dan YB Budiman telah berbincang dengan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat dan akan mengarahkan pihak kontraktor yang dilantik membina rumah mangsa," katanya kepada pemberita ketika melawat rumah mangsa di sini hari ini.

Turut hadir calon BN PRK Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi.

Dalam kejadian sekitar jam 2 pagi itu, mangsa yang merupakan orang kurang upaya (OKU) dikatakan sedang tidur sebelum menyelamatkan diri.

Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor mengesahkan punca kebakaran akibat kemalangan litar pintas.