KUALA KANGSAR 29 Mei - Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar yang juga isteri kepada Allahyarham Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad mahu merintis usaha yang ditinggalkan suaminya itu.

Pada petang Sabtu, BN Perak melalui pengumuman Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menamakan Mastura sebagai calon di hadapan ribuan penyokong di Safari Resort.

"Atas ketentuan-Nya, saya telah dipilih menjadi calon, dan saya akan berusaha untuk merintis usaha arwah suami saya di kawasan ini sekiranya menang sebagai Ahli Parlimen," kata Mastura.

Beliau amat yakin dengan kekuatan dan kemampuan jentera parti kerana pernah menyaksikan semangat seluruh jentera parti dalam memenangkan arwah suaminya sebagai calon parti pada dua pilihan raya iaitu pada tahun 2008 dan 2013.

"Saya amat mengharapkan sokongan seluruh jentera parti kerana ini adalah perjuangan semua, perjuangan UMNO dan Barisan Nasional juga perjuangan orang Kuala," katanya ringkas dalam kenyataan medianya sempena penamaan beliau sebagai calon.

Mastura berkata, beliau sekadar penyambung kepada perjuangan serta memikul amanah untuk meneruskan khidmat bakti arwah suaminya kepada orang Kuala Kangsar.

Tambahnya, beliau memanjatkan doa agar sokongan orang Kuala Kangsar kepada parti dan arwah dapat diteruskan pada PRK yang bakal diadakan pada 18 Jun 2016.

"Pilihan raya ini bukan soal saya, tetapi Barisan Nasional sebagai wadah perjuangan, seperti mana amanah yang pernah digalas oleh arwah suami saya dalam menabur bakti kepada rakyat.

Memberi penjelasan, Mastura berkata sepanjang tempoh edah, pergerakannya serta penglibatannya amat terbatas dan beliau memohon maaf kepada semua jika menurut amalan parti dan gerak kerja.

Menurutnya, selaku orang yang dinamakan sebagai calon, beliau seharusnya berada bersama-sama seluruh jentera parti dan masyarakat untuk berkempen bagi berkongsi semangat untuk memenangi pilihan raya kecil ini.

"Batas agama seperti yang dijelaskan dalam hukum dan pandangan Mufti serta para agamawan, menghadkan pergerakan saya sebagai isteri yang masih di dalam tempoh edah selama empat bulan 10 hari.

"Tempoh syarak ini wajib saya patuhi. Sehubungan itu saya amat mengharapkan, kefahaman seluruh jentera parti, khususnya di peringkat Cawangan dan Pusat Daerah Mengundi akan kedudukan saya ini.

"Insya-Allah, sekiranya diberikan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen nanti, saya akan melaksanakan amanah yang diberikan sebaik mungkin sebagai kesinambungan kepada apa yang telah dirintis oleh arwah suami saya," katanya mengakhiri kenyataan.