KUALA LUMPUR 23 Mei - Presiden MyPPP, Tan Sri M Kayveas hari ini mengingatkan Tun Dr Mahathir Mohamad tentang ajaran bekas perdana menteri itu yang membuatkan parti-parti komponen BN kini berdiri teguh bersama Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Mengimbau kembali zaman Mahathir sebagai pemimpin nombor satu negara, sesiapa yang menentang beliau akan dicantas sejajar dengan pendekatan diktator yang diamalkannya.

"Jika dilihat kami sokong Najib, yang menjadi perdana menteri semasa, ini adalah kerana kami telah diajar daripada cara-cara Mahathir pada masa dahulu.

"Siapa yang tidak tahu apa yang Mahathir lakukan atau akan buat kepada mereka yang ingkar padanya.

"Sejarah membuktikan betapa ramai para pemimpin berpotensi yang sepatutnya terus berada di tampuk pemerintahan negara hari ini tersungkur akibat keingkaran mereka pada Mahathir.

"Tun Ghafar Baba, Tun Musa Hitam, Tengku Razleigh Hamzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Abdullah Ahmad Badawi - antara mangsa-mangsa zaman kuasa Mahathir sebelum ini," katanya memetik laporan Malaysiakini.

Anwar, dalam surat kritikan kepada PKR yang terdedah baru-baru ini turut mengingatkan semua terutama pimpinan PKR yang galak menyokong Deklarasi Rakyat agar berhati-hati dengan kelicikan Mahathir yang disifatkan sebagai pemimpin zalim dan paling korup sebagai mantan menteri kewangan.

Mengulas lanjut, Kayveas berkata, walaupun bertindak secara diktator, para pemimpin BN bersama Mahathir di zaman susah dan senang beliau.

"Namun hari ini, apabila Mahathir menghentam Najib dan bercakap tidak seperti nada seorang negarawan, beliau seharusnya berpegang kepada dua fakta dan kebenaran.

"Pertama, beliau telah mengkhianati kami yang menyokongnya selama 22 tahun sebagai perdana menteri.

"Kedua, Mahathit patut sedar bahawa beliau bukan ditakdirkan berkuasa untuk menentukan apa jua untuk rakyat," jelasnya.

Mahathir telah dimartabatkan dan mempunyai reputasi sebagai negarawan, dan seharusnya mengekalkan imej tersebut.

"Apa yang menyedihkan, ini bukan yang kita nampak pada Tun.

"Hari ini, bahasa dan kata-katanya jelas sekali menggambarkan kelukaan dan kekecewaan dalam perang," ujarnya lagi.