SUNGAI BESAR 20 Mei – Umno Bahagian Sungai Besar menyokong siapa saja calon mewakili parti itu termasuk calon ‘payung terjun’ jika calon yang diketengahkan itu mendapat restu daripada kepimpinan tertinggi parti untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.

Ketuanya, Datuk Jamal Md Yunos berkata, keputusan memilih calon BN diserahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti dalam usaha memastikan kerusi itu terus kekal dimenangi BN.

“Siapa saja yang diputuskan pucuk pimpinan, itulah yang kita (Umno Bahagian Sungai Besar) sokong.

“Saya tak ada masalah, jika calon ini daripada luar (Sungai Besar) sebab mereka (pucuk pimpinan) melihat daripada semua sudut, asalkan calon BN mengekalkan rentak kemenangan di kerusi ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Ditanya berhubung suara akar umbi yang mahukan Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komiditi, Muslimin Yahaya sebagai calon BN, Jamal enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

“Nama ni biasalah. Muslimin, Budiman (Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi)..macam-macam nama (yang dikaitkan sebagai calon BN), saya pun tak tahu.

“Pucuk pimpinan ada kaedah tertentu untuk buat pilihan terbaik, termasuklah seorang calon yang popular dan mengikut kemahuan dan kehendak rakyat,” katanya.‎

Kekosongan kerusi Parlimen Sungai Besar dan Parlimen Kuala Kangsar masing-masing berikutan penyandangnya Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, pada 5 Mei.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun iaitu 13 hari selepas penamaan calon pada 5 Jun.