KUALA LUMPUR 19 Mei - PAS lebih rela bersama 'lembu UMNO daripada bersama khinzir dari DAP'.

Demikian kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu mesyuarat bersama pimpinan PAS yang dilaporkan berang dengan tindakan PKR memberi amaran kepada exco kerajaan negeri untuk meletakkan jawatan sekiranya PAS bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar.

Memetik laporan Malaysian Digest, sumber PAS Selangor ketiga-tiga Exco PAS telah menemui Abdul Hadi di kediamannya di Rusila, Terengganu sejurus Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali memaklumkan kepada mereka untuk menghantar surat perletakan jawatan sekiranya parti tersebut masih ingin bertanding pada PRK Sungai Besar.

Tiga exco tersebut, Datuk Iskandar Abdul Samad, Datuk Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.

Abdul Hadi dalam mesyuarat tergempar itu mendakwa PAS bertegas akan meletakkan calon pada PRK Sungai Besar.

Beliau juga mendesak agar ketiga-tiga Exco PAS itu tidak meletakkan jawatan dan meneruskan tugas seperti biasa.

Sebelum ini, Azmin mengesahkan bahawa PKR akan bertanding di Sungai Besar dan akan meyakinkan pemimpin Pakatan Harapan untuk memberi laluan kepada PAS bertanding di Kuala Kangsar.