KUALA LUMPUR 18 Mei - Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata beliau tidak peduli bagaimana pembangkang merancang untuk berkempen kedua-dua Pilihan Raya Kecil (PRK) 18 Jun ini, atau sama ada ia akan di sertai Tun Dr Mahathir Mohamad atau tidak.

Katanya, UMNO akan beri tumpuan kepada memantapkan strategi untuk PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang akan bergantung sepenuhnya kepada kekuatan jentera parti dan bukannya strategi pihak lawan.

"Saya tak peduli pasal mereka dan saya tak peduli siapa berkempen untuk mereka.

“Apa yang penting adalah jentera parti. Jika kita kuat dan bekerja keras dan calon yang kita umumkan diterima baik di kedua-dua kerusi, saya pasti kemenangan kita adalah kerana kekuatan jentera kita,” katanya yang ditemui selepas merasmikan program Jom Belajar Koding (JBK) di PWTC pada Rabu.

Sebelum ini, Tun Mahathir secara terbuka meminta pembangkang agar bersatu untuk menewaskan Barisan Nasional dalam dua PRK akan datang ketika berucap dalam satu majlis di Shah Alam pada Sabtu.

Pemimpin-pemimpin UMNO kemudian membidas kenyataan bekas perdana menteri itu yang dianggap sebagai satu pengkhianatan kepada parti dan gabungan mereka.

Kedua-dua kerusi Kuala Kangsar dan Sungai Besar dimenangi BN dalam Pilihan Raya 2013, diisytiharkan kosong berikutan kematian ahli parlimen mereka dalam nahas helikopter semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak awal bulan ini.