KUALA LUMPUR 12 Mei - PAS Selangor masih belum mempunyai calon khusus bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar walaupun beberapa nama sudah dihantar ke peringkat PAS Pusat bagi mendapatkan kelulusan Majlis Syura Ulama.

Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata demikian mengulas perkembangan calon PRK berkenaan.

Tegasnya, PAS Selangor hanya akan mengumumkan calon khusus selepas jawatankuasa parti di peringkat pusat memuktamadkan keputusan.

"Kita tidak ada calon yang khusus lagi, baru di peringkat cadangan. Keputusan belum dibuat sebab ia masih di peringkat cadangan. Di peringkat negeri, kita tidak ada kuasa untuk tentukan calon.

"Apa-apa pun kita kena tunggu keputusan Pusat, walaupun cadangan itu datangnya daripada kawasan dan negeri dan dihantar kepada Pusat kemudian dihantar kepada Majlis Syura Ulama," katanya memetik laporan Antarapos.

Khairuddin pada semalam memberitahu PAS negeri sudah menghantar beberapa nama calon untuk PRK Sungai Besar.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi juga berkata PAS Selangor telah mengadakan mesyuarat berhubung hal itu namun belum ada calon yang sesuai untuk diletakkan di kawasan itu.

Sebelum ini Parti Amanah Negara (PAN) turut mengumumkan mahu meletak calon mereka di kerusi tersebut.

Pengerusi PAN Selangor, Izham Hashim semalam berkata pihaknya telah memaklumkan hasrat untuk bertanding di Sungai Besar kepada pimpinan parti di peringkat pusat.

Izham memaklumkan hasrat itu juga disampaikan kepada PKR dan DAP yang menjadi rakan gabungan di dalam Pakatan Harapan (PH), namun akan dibincangkan menerusi Majlis Pimpinan Presiden (MPP).

Beliau berkata, PAN mengambil pendirian untuk meletak calon di mana-mana kerusi yang turut ditandingi PAS kerana parti Islam itu kini bukan sebahagian daripada gabungan pembangkang yang baru.

PRK Sungai Besar bakal diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon dari BN yang terkorban dalam tragedi helikopter di Sebuyau, Sarawak 5 Mei lepas.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lalu, Datuk Noriah memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 399 undi menewaskan calon PAS Mohamed Salleh Husin.