KUALA LUMPUR 10 Mei - Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Dato' Jamal Md Yunos tidak berminat bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar bagi menggantikan penyandangnya yang meninggal dunia.

Beliau juga akan menolak jika ditawarkan sebagai calon dari pucuk pimpinan parti.

“Saya daripada awal lagi telah menyatakan bahawa saya tak berminat dan daripada tujuh calon tersebut, saya tidak meletakkan diri saya dalam senarai tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, peranannya sebagai pemimpin UMNO Bahagian Sungai Besar akan terus membantu bagi memastikan parti itu terus releven di kalangan pengundi di kawasan parlimen berkenaan.

“Saya daripada awal lagi saya telah nyatakan saya seorang ahli perniagaan yang hanya ingin membantu parti, (dan) siapa sahaja calon yang akan bertanding pada pilihan raya akan datang," ujarnya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Besar itu turut mengesahkan bahawa seramai tujuh calon telah dikenalpasti berpotensi untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil kawasan tersebut.

Akan tetapi beliau tidak akan mendedahkan senarai calon dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti.

“Yang itu saya tak boleh umumkan dan saya juga tidak mempunyai kuasa berbuat demikian jadi biarlah pucuk pimpinan yang umumkan senarai nama mereka,” kata Jamal.

PRK Parlimen Sungai Besar dan Parlimen Kuala Kangsar bakal diadakan susulan kematian penyandang kerusi itu, Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan akibat nahas helikopter di Sarawak Khamis lalu.