KUCHING 4 Mei - PAS menepis khabar angin kononnya bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menyertai parti Islam itu, susulan tindakannya berkempen untuk calon parti terbabit.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, beliau belum menerima sebarang permohonan daripada Khalid yang telah dipecat PKR, ekoran isu Menteri Besar Selangor yang berlarutan selama setahun.

“Beliau adalah ahli Parlimen bebas. Beliau ada hak untuk menyokong mana-mana parti yang bertanding pada pilihan raya ini,” katanya dalam satu sidang media lewat malam tadi.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak mengejutkan ramai, apabila beliau dilihat berkempen bersama calon PAS DUN Samalaju, Zharudin Narudin di Bintulu, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 Sabtu ini.

Ini bukan kali pertama Khalid menyertai program PAS. Beliau pernah menghadiri Muktamar PAS ke-61 yang berlangsung di Kuala Selangor tahun lalu.

Khabar angin berhubung penyertaannya dalam PAS bertiup kencang sejak itu, namun tiada pengumuman rasmi dibuat berhubung perkara itu.

Dalam perkembangan lain, Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali berkata, parti itu yakin mampu mencipta sejarah dengan memenangi sekurang-kurangnya satu kerusi di PRN Sarawak kali ini.

Jelasnya, berdasarkan maklumat yang diperolehi pihaknya, PAS mungkin mendahului parti serpihannya, Parti Amanah Negara (AMANAH).

PAS bakal berentap dengan AMANAH di lima kerusi, iaitu Samariang, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro.

Kedua-dua parti itu mengambil pendekatan berkunjung dari rumah ke rumah untuk mendekati pengundi.