KUALA LUMPUR 3 Mei - Tidak mustahil kalau permohonan murtad semudah ditukar dengan kertas undi, akan berlaku permohonan murtad dalam pilihanraya-piliharaya akan datang, dakwa Persatuan Pribumi Perkasa (PERKASA).

PERKASA membuat dakwaan itu mengulas kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang berkata Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menarik balik notis rayuan ke atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang mengiktiraf hak Azmi Mohamad Azam atau Rooney Rebit untuk dikenali sebagai penganut Kristian secara sah.

Menurut Adenan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan bahawa JPN akan menarik balik rayuan mereka.

“PERKASA sebagai NGO yang antara perjuangannya konsisten mempertahankan Islam melihat kenyataan Adenan Satem ini amat berbahaya kepada kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan.

“Sehingga memudahkan isu ‘murtad’ ini menjadi mudah dan hanya boleh ditukar dengan sehelai kertas undi,” kata Ketua Penerangan PERKASA, Hassan Basri Muhammad.

Hakim Datuk Yew Jen Kie pada 24 Mac lepas memutuskan bahawa penukaran agama Rooney daripada Kristian kepada Islam oleh ibu bapanya pada umur 10 tahun dibuat tanpa kerelaan hati dan Rooney diberi hak kebebasan beragama oleh Perlembagaan.

JPN memfailkan notis rayuan pada 22 April selepas jabatan itu diarah mengeluarkan MyKad baharu kepada Rooney dengan nama asalnya dan pengkelasan Islam sebagai agama anutan digugurkan.

“PERKASA menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Sarawak yang membenarkan ‘pemurtadan’ Rooney Rebit atas jaminan hak Perlembagaan kebebasan beragama.

“Namun PERKASA juga berharap semua pihak termasuk Perdana Menteri mesti menghormati hak Jabatan Pendaftaran Negara merayu dan peranan Mahkamah Syariah Sarawak dalam urusan umat Islam,” kata Hassan.

Mahkamah memutuskan bahawa Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa ke atas Rooney kerana dia tidak boleh dianggap sebagai seorang Muslim.

Dua lagi defendan dalam kes ini, iaitu Jabatan Agama Islam Sarawak dan Majlis Islam Sarawak tidak merayu keputusan hakim.

PERKASA melahirkan rasa terkilan dengan jabatan agama, mufti, ulama, pendakwah dan pihak berkuasa agama yang memandang sepi isu murtad ini, seolah-olah Sarawak boleh mengolah undang-undangnya tanpa terikat dengan Perlembagaan.

“PERKASA mengharap supaya Jabatan Pendaftaran Negara Sarawak dan Mahkamah Syariah pertahankan peraturan yang digubal dan jangan tunduk kepada tekanan kuasa politik dalam membuat keputusan,” kata Hassan.