MIRI 3 Mei - Pengakuan pemimpin besar DAP, Lim Kit Siang bahawa partinya berisiko kehilangan tujuh kerusi merupakan perakuan kepada populariti Tan Sri Adenan Satem dalam kalangan warga Sarawak.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Keruak menggesa para pengundi di Miri supaya bersama dengan rakyat Sarawak yang akan memilih kerajaan pimpinan Adenan.

“Lim Kit Siang sendiri mengakui kerajaan BN di bawah pimpinan Tan Sri Adenan Satem amat popular di kalangan masyarakat.

“Malah beliau juga berkata tiada harapan (untuk pembangkang), yakin BN akan sekali lagi mentadbir selepas pilihan raya ini,” katanya dalam sidang media selepas sesi ‘walkabout’ semalam.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata pengakuan Lim Kit Siang itu merupakan petanda DAP akan bekerja dengan lebih keras untuk menarik sokongan orang ramai kearah pembangkang.

Dalam pada itu, calon BN bagi DUN Piasau, Datuk Sebastian Ting turut menyeru pengundi Cina supaya memilih kerajaan pimpinan Adenan.

“Pada masa ini mood pengundi bandar yang kebanyakannya masyarakat Cina terhadap BN baik. Persoalannya sama ada ia akan diterjemahkan melalui undi nanti,” katanya lagi.