KUALA LUMPUR 19 Mei - Tindakan individu yang membawa keluar surat bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara merupakan satu kesalahan dan boleh diambil tindakan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata Akta Penjara 1995 menyatakan seseorang yang menyeludup atau cuba menyeludup barang larangan masuk atau keluar dari penjara sebagai satu kesalahan.

Akta Penjara memperuntukkan barang larangan dibawa masuk atau keluar adalah dadah, wang atau arak dan termasuk alat atau artikel seperti ditetapkan komisioner jeneral dari semasa ke semasa.

“Sepatutnya kena ada siasatan, tetapi surat sudah pun keluar…Jabatan Penjara perlu berhati-hati selepas ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen semalam.

Beliau berkata Anwar diberi banyak keistimewaan termasuk boleh berhubung dengan ahli keluarga dan peguamnya dengan kerap, memungkinkan penyeludupan keluar surat berkenaan.

“Bila banyak perhubungan antara keluarga, peguam dan pihak lain, ada banyak peluang surat itu boleh dibawa keluar,” katanya.

Sebuah portal media sebelum ini melaporkan Anwar menulis sepucuk surat kepada pimpinan PKR yang mendakwa Deklarasi yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tidak sempurna dan lari daripada agenda reformasi sebenar.

Sementara itu, mengulas mengenai peraturan larangan keluar negara selama tiga tahun ke atas individu yang memburukkan negara, Nur Jazlan menasihatkan ahli politik dan aktivis yang cenderung membuat kenyataan menjatuhkan imej negara supaya memeriksa nama mereka dengan Jabatan Imigresen.

“Macam Maria Chin Abdullah (Pengerusi Bersih 2.0), dia patut periksa terlebih dulu sama ada nama disenarai atau tidak. Seperti (kartunis) Zunar juga, dia juga patut periksa,” katanya.