SOCHI 19 Mei - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan perbincangan dua hala dengan Presiden Rusia Vladimir Putin mengenai perkara kepentingan bersama di bandar peranginan Sochi Laut Hitam Rusia dengan bermulanya Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia pada Khamis.

Duta Malaysia di Rusia Datuk Hayati Ismail berkata sidang kemuncak itu memberikan peluang kepada pemimpin Rusia dan ASEAN untuk bertemu dan berbincang mengenai pelbagai isu.

Taman Olimpik Sochi 2014 di bandar Adler iaitu lokasi Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia akan berlangsung pada Khamis

"Mereka bebas untuk membincangkan (sebarang isu), terpulang kepada pemimpin," katanya kepada wartawan Malaysia pada Rabu di Sochi mengenai agenda utama perbincanagn Najib dan Putin.

Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia diadakan untuk memperingati hubungan dialog 20 tahun ASEAN-Rusia.

Pertemuan pemimpin Rusia dan Malaysia di Sochi ini diadakan beberapa bulan selepas kedua-dua negara menandatangani perjanjian Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan (ESTC), sebuah mekanisme untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara.

"Sudah ada kemajuan mengenai perjanjian ini. Kita (Malaysia dan Rusia) akan mengadakan pertemuan lebih kerap lagi mengenainya" kata Hayati tentang ESTC, mekanisme yang dimeterai pengwujudannya pada November tahun lepas di Kuala Lumpur.

Hayati berkata Najib juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatan Vietnam Nguyen Xuan Phuc di luar sidang kemuncak itu pada Jumaat.

Ini akan merupakan pertemuan pertama Najib dengan perdana menteri Vietnam itu yang mengangkat sumpah jawatan pada April tahun ini.

Hayati berkata sidang muncak peringatan itu penting bagi tujuan meningkatkan perkongsian kerjasama ASEAN-Rusia.

"Ia memberikan peluang kepada ASEAN dan Rusia untuk memperkukuh dan merencana hala tuju masa depan hubungan ini, dalam kita bergerak maju untuk membentuk perkongsian strategik," katanya.

Kumpulan ASEAN terdiri daripada Brunei, Kemboja, Laos, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Beliau berkata sidang kemuncak itu akan menerima pakai Deklarasi Sochi bertajuk 'Ke arah Mengadakan Perkongsian Strategik bagi Kepentingan Bersama."

Deklarasi Sochi akan memberikan pandangan menyeluruh dalam memperkukuh perkongsian dialog berasaskan prinsip manfaat bersama bagi tujuan menggalakkan keamanan, kestabilan, kemakmuran dan keselamatan di Asia Pasifik.

Para pemimpin itu akan juga mengambil perhatian tentang Pelan Tindakan Komprehensif (2016-2020) terdiri daripada langkah-langkah khusus untuk memperkukuh hubungan dalam tempoh lima tahun akan datang, dan menimbangkan laporan mengenai Kumpulan Tokoh Terkemuka ASEAN-Rusia (AREPG), laporan yang mengandungi cadangan mengenai hala tuju hubungan ASEAN-Rusia.