KUALA LUMPUR 15 Mei - Benarkah Deklarasi Rakyat sudah berjaya mengumpul 1.27 juta tandatangan?, soal Pertubuhan Gabungan Melayu Nusantara Negeri Sembilan.

NGO Melayu itu membangkitkan persoalan itu memandangkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Sekretariat Pakatan Harapan menyatakan jumlah tandatangan yang berbeza.

Kata Presiden Mustafa Abu Bakar, Mahathir menyatakan sejumlah 1.27 juta tandatangan telah berjaya dikumpul, sementara kenyataan Sekretariat Selamatkan Malaysia memaklumkan hanya 500,000.

Justeru, beliau menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan, terutama berhubung tandatangan yang dikumpulkan menggunakan internet.

“Kami mahukan kebenaran dan ingin tahu siapakah yang berbohong,” katanya seperti dipetik Bernama.

Pada 10 Mei lalu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam laman Facebooknya menyatakan jumlah tandatangan “sudah mencecah angka satu juta”.

Namun laporan Sinar Harian 11 keesokannya memetik kenyataan ahli Sekretariat Selamatkan Malaysia Datuk Kamaruddin Jaafar bahawa jumlah tandatangan yang berjaya dikumpul adalah 500,000.

Pada 13 Mei lalu, Dr Mahathir pula dalam satu sidang media mengumumkan sejumlah 1.07 juta tandatangan berjaya dikumpul melalui internet, 200,000 di borang fizikal dan 50,000 lagi melalui laman petisyen Change.org.