KUALA LUMPUR 12 Mei - Kajian Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) menunjukkan trend undi rosak meningkat di kawasan bandar dan penganalisis politik melihat perkara itu perlu diambil perhatian semua pihak bagi mengelakkan ia semakin membarah.

Ahli penyelidiknya, Prof Madya Dr Rosmadi Fauzi ‎berkata, secara logiknya undi rosak kurang di kawasan bandar kerana tahap pendidikan dan celik politik berbanding dengan pengundi di kawasan pedalaman.

"Isunya adalah, lebih bandar kawasan itu, lebih banyak undi rosak. Di kawasan bandar ini orangnya berpendidikan, orang muda...tapi mungkin itu kerana protes dan sebagainya. Bukan sebab mereka tak faham arahan.

"Saya tak pasti angka dari mula-mula pilihan raya tapi yang saya boleh sahkan adalah undi rosak ini cenderung ke kawasan bandar.

"Sepatutnya secara logik, kawasan kampunglah banyak undi rosak mungkin atas faktor ada yang tidak boleh membaca dan sebagainya tapi data menunjukkan sebaliknya," katanya ketika ditemui selepas forum berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, anjuran Umcedel dan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, di sini, semalam.

Namun katanya, data diperoleh pihaknya tidak tertumpu kepada PRN Sarawak sahaja sebaliknya ia turut berlaku dalam pilihan raya umum di negara ini.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Sosiobudaya UM, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi melihat trend itu sebagai tanda protes di mana pengundi memilih jalan selamat dengan merosakkan undi mereka sendiri.

"Misalnya protes terhadap pertelagahan antara DAP dan PKR. Untuk jalan selamat, mereka merosakkan undi itu sendiri.

"Ini satu protes pengundi terhadap parti ataupun protes apabila mereka melihat tiada ruang untuk menang. Ini dipanggil senjata orang-orang yang lemah," katanya.