KUCHING 11 Mei - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bangkai helikopter yang terhempas di Sungai Batang Lupar, Sri Aman, akan ditamatkan hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman, berkata pencarian rangka utama bangkai helikopter jenis AS350B Eurocopter itu akan diteruskan oleh Kementerian Pengangkutan bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

"Saya ingin mengumumkan operasi SAR pesawat itu akan ditamatkan secara rasmi selewat-lewatnya jam 4 petang ini dan semua agensi terbabit akan meninggalkan lokasi kecuali Kementerian Pengangkutan dan TLDM yang akan meneruskan pencarian menggunakan alat pengesan sonar.

"Langkah ini diambil berikutan semua mangsa sudah ditemui dan mayat juruterbang, Kapten Rudolf Rex Ragas juga sudah disahkan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini sebentar tadi.

Muhammad Sabtu berkata, pihaknya bersedia memberi bantuan terutama dalam aspek kawalan keselamatan jika diminta oleh Kementerian Pengangkutan.

Sementara itu, Muhammad Sabtu berkata pihaknya sudah berhubung dengan Kedutaan Filipina berhubung pengesahan mayat Rudolf.

"Mayat mangsa akan dibawa ke Bau untuk upacara pembakaran dan abu mayat akan diserahkan kepada anak saudara mendiang untuk dibawa balik ke Filipina," katanya.