SUBANG 6 Mei - Majoriti masyarakat di Sungai Besar amat sedih dengan pemergian Ahli Parlimen mereka, Allahyarhamah Datuk Noriah Kasnon yang banyak berjasa dan berbakti kepada rakyat.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar menyifatkan kematian Timbalan Menteri, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon sebagai kehilangan besar kepada Umno di negeri ini.

Katanya, Noriah telah berkhidmat selama tiga penggal sebagai Ahli Parlimen Sungai Besar dan satu-satunya ahli parlimen daripada Selangor yang masih kekal sebagai timbalan menteri.

Malah, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang mengakui amat rapat dengan Noriah sejak kecil lagi.

“Saya dan arwah secara kebetulannya berasal dari Kampung Sungai Burong, Tanjong Karang.

“Saya dan arwah satu sekolah rendah yang sama.. kehilangannya amat dirasai kerana beliau seorang yang berjaya dalam politik,” katanya pada Sidang Media di rumah keluarga Noriah di Sungai Burong, Tanjong Karang.

Beliau berkata, pembabitan Noriah dalam politik bermula dengan Umno Tanjong Karang, bagaimanapun Noriah meneruskan karier politiknya bersama Umno Sungai Besar setelah berlaku pecahan kawasan pengundian.

“Arwah mula sertai Umno di Cawangan Tali Air 2 Sungai Burong pada tahun 1996. Sebelum sertai Umno, beliau adalah bekas peguam dan amat baik dengan saya semasa saya menjadi ahli parlimen,” katanya.

Malah, Noh memberitahu, kehilangan arwah dan suaminya, Asmuni Abdullah bukan saja dirasai keluarga terdekat malah satu kehilangan besar bagi penduduk Sungai Burong kerana kedua-duanya anak kelahiran Sungai Burong yang berjaya.

“Suaminya juga orang Sungai Burong. Mereka pun satu sekolah yang sama. Rumah suaminya juga dekat dengan rumah keluarga Noriah, di sini.

“Asmuni belajar hingga ke luar negara dan bekerja sebagai arkitek di Amerika Syarikat. Sejak kecil lagi, Asmuni masuk asrama penuh dan kali terakhir saya jumpa arwah semasa kenduri kahwin salah seorang anak Noriah,” jelasnya.

Sementara itu, Noh berkata, jenazah kedua-dua pasangan suami isteri itu dijangka akan disembahyangkan di rumah keluarga Noriah di kampung itu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit 12 Sungai Burong.

“Saya bersama dengan dua anaknya dan seorang menantu serta lima pegawai forensik telah pun berlepas ke Kuching, Sarawak pada jam 12.30 tengahari tadi menaiki pesawat TUDM.

“Sekarang mereka (anak-anak Noriah) dah sampai ke Kuching. Kita tengah menunggu sebarang perkembangan daripada anaknya yang berada di hospital bagi pengecaman jenazah.

“Saya dan penduduk kampung di sini telah bersiap sedia untuk menerima jenazah Noriah dan suaminya untuk disembahyang dan dikebumikan di sini,” katanya.