PUTRAJAYA 5 Mei - British Council mengiktiraf Malaysia dan Jerman sebagai yang terbaik dalam kalangan 26 negara dari segi dasar keterbukaan terhadap pendidikan tinggi antarabangsa.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kajian oleh badan itu menunjukkan Malaysia mendapat markah sangat tinggi dalam tiga kategori iaitu keterbukaan, jaminan kualiti dan pengiktirafan serta akses dan kemampanan.

"Hanya negara kita dan Jerman sahaja yang mendapat markah sangat tinggi dalam ketiga-tiga kategori itu," katanya dalam ucapan pada perhimpunan bulanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), di sini hari ini.

Dalam 'The Shape of Global Higher Education: National Policies Framework for International Engagement' yang diterbitkan oleh British Council semalam, selain Malaysia dan Jerman, negara lain yang turut diiktiraf sebagai lima yang terbaik ialah Australia, United Kingdom dan China.

Objektif utama kajian itu adalah untuk menilai dasar-dasar negara terhadap pendidikan tinggi antarabangsa dan untuk mengenal pasti bidang yang disokong oleh kerajaan di 26 negara terbabit.

Idris berkata, KPT juga telah mencapai pelbagai kejayaan antaranya melancarkan Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2016-2020 bagi menganjak minda graduan daripada bersifat mencari kerja kepada penjana pekerjaan serta menerbitkan Buku Rubrik Purata Nilai Gred Keseluruhan Berintegrasi (iCGPA).