KUALA LUMPUR 3 Mei - Pengguna di beberapa kawasan di Hulu Langat akan mengalami gangguan bekalan air sementara pada 10 Mei ini susulan kerja-kerja peralihan dan penggantian paip air.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam kenyataan medianya memaklumkan kerja-kerja penggantian paip itu akan dijalankan dari 8 malam (10 Mei) sehingga 3 pagi (11 Mei) untuk menambah baik sistem agihan air di kawasan berkenaan.

"Segala usaha untuk menyiapkan kerja penggantian ini sedang dilakukan dan bekalan air dijangka pulih secara berperingkat selepas kerja-kerja itu siap," menurut kenyataan itu hari ini.

Sebanyak 19 kawasan di Hulu Langat terlibat termasuk Taman Industri Selesa Jaya Seri Kembangan, Taman Industri Balakong Jaya, Kawasan Perindustrian Balakong, Taman Impian Ehsan, Taman Sinaran, Taman Taming Ria, Kawasan Perniagaan Desaria Seri Kembangan dan Taman Setia Balakong.

Taman Impian Indah, Taman Juara Jaya, Taman Bukit Belimbing, Taman Seri Belimbing, Taman Harmoni Indah, Taman Desa Karunmas, Taman Putra Budiman, Taman Balakong Jaya, Taman Seri Timah, Taman Tanming Jaya 1 dan 2 dan Taman Bukit Emas.

Pengguna dinasihatkan menyimpan bekalan air yang mencukupi semasa tempoh gangguan bekalan air sementara ini, kata kenyataan itu.

SYABAS akan menyediakan penghantaran bekalan air kecemasan ke hospital, pusat dialisis dan premis pengguna kurang upaya bagi mengurangkan kesulitan.

Pengguna juga akan diberi notis awal menerusi aplikasi WhatsApp, Twitter dan Facebook Puspel, dan di laman web di www.syabas.com.my serta aplikasi 'mySyabas'.