KUALA TERENGGANU 3 Mei – Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu berharap rakyat terus memberi sokongan padu kepada kerajaan negeri sedia ada dan bergerak selari dalam memastikan perancangan dan pelaksanaan berjalan lancar di negeri ini.

Semua pihak juga diminta menghentikan sebarang polemik pertukaran menteri besar, sebaliknya menghormati dan akur dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengekalkan Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman untuk terus menerajui negeri itu.

Exco Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, A Latiff Awang berkata, pihaknya tetap meneruskan komitmen sebagaimana biasa dan menyokong kepimpinan kerajaan negeri bagi memastikan tanggungjawab diamanahkan berjalan lancar.

“Kita harap keputusan itu akan mengembalikan keadaan harmoni dan tenang di negeri ini dan memastikan kerajaan negeri meneruskan tanggungjawab kepada masyarakat. Kita juga berharap rakyat terus memberi sokongan kepada kepimpinan sedia ada.

“Dalam masa sama, kita harap mana-mana pihak tidak memainkan sentimen terutama berhubung pertukaran menteri besar lagi selepas ini,” katanya memetik laporan Sinar Harian, di sini.

Dalam laporan Sinar Harian melalui berita agensi, semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Ahmad Razif Abd Rahman kekal sebagai Menteri Besar Terengganu dan akan jalankan tugas seperti biasa.

Najib berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin untuk membincangkan isu mengenai kedudukan menteri besar.

Mengulas lanjut, A Latiff juga menegaskan bahawa kepimpinan kerajaan negeri sedia ada sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dalam masa sama meminta pelbagai pihak menghentikan sebarang perkara yang mengganggu kelancaran pentadbiran di peringkat negeri.

“Kita juga berharap supaya wakil-wakil rakyat dan Exco-Exco dapat meneruskan komitmen sebagaimana sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri, Nawi Mohamad berkata bahawa keputusan tersebut melegakan semua pihak apatah lagi dengan kesempatan beberapa pihak yang cuba mengeruhkan keadaan di negeri ini.

Jelasnya, keputusan Najib berhubung perkara itu telah menyelesaikan polemik yang dibangkitkan beberapa pihak dan turut berharap rakyat memberi sokongan padu kepada kerajaan negeri sedia ada.

Nawi turut mengingatkan mana-mana pihak tidak terikut-ikut dengan persepsi dibawa pembangkang berhubung kepimpinan kerajaan negeri.

“Kita harap semua hormati keputusan dari peringkat bawahan sehingga ke peringkat atas. Pembangkang itu biasalah, jangan terikut-ikut dengan pembangkang. Apa yang penting penerimaan terbuka rakyat juga akan turut melicinkan pentadbiran di peringkat negeri,” katanya.