KUANTAN 3 Mei - Empat daerah di Pahang iaitu Lipis, Temerloh, Pekan dan Kuantan masih berdepan gangguan bekalan air sehingga semalam, berikutan cuaca panas dan kering ketika ini.

Pegawai Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Nurul Farhana Abdul Hamid, berkata gangguan menyebabkan 15,223 pemilik akaun berdepan masalah bekalan air bersih.

Daripada jumlah itu, katanya, Kuantan adalah daerah paling ramai dengan 9,363 pemilik akaun terbabit, diikuti Pekan (4,500), Lipis (1,000) dan Temerloh (360).

"Gangguan membabitkan penduduk yang menerima bekalan air dari Loji Air Lubuk Kawah, Temerloh; Loji Air Jelai, Lipis; Loji Air Chini, Pekan dan Loji Air Panching di Kuantan.

"Kita menyediakan 194 tangki statik kepada kawasan terbabit bagi membolehkan orang ramai mendapatkan bekalan air bersih.

"Kekerapan penghantaran bekalan air bersih turut ditambah menggunakan 42 lori tangki ke kawasan berkenaan," katanya menerusi kenyataan media di sini, sebentar tadi.

Nurul Farhana berkata, PAIP mengambil langkah proaktif dengan memantau status terkini paras sungai dan muka sauk bagi memastikan gangguan bekalan air tidak berlaku," katanya.

Katanya, orang ramai boleh menghubungi pusat khidmat pelanggan PAIP di talian 09-5739999 atau melayari laman sesawang PAIP untuk mendapatkan maklumat terkini perkembangan gangguan bekalan air.