BOSTON 17 Mei - Seorang pesakit barah berusia 64 tahun berjaya menjalani pembedahan pemindahan zakar pertama di Amerika Syarikat, prosedur bersejarah yang dapat membantu ramai mangsa kemalangan dan sebahagian veteran perang yang kehilangan anggota badan akibat letupan bom.

Dalam kes yang mewakili kejayaan terbaru dalam bidang pemindahan rekonstruktif, Thomas Manning dari Halifax, Massachusetts, semakin pulih selepas pembedahan selama 15 jam minggu lalu, kata Hospital Besar Massachusetts.

Doktor beliau berkata, mereka optimis Manning mampu membuang air kecil secara normal dan berfungsi secara seksual lagi untuk kali pertama sejak barah zakar menyebabkan alat sulit beliau terpaksa dipotong pada 2012.

Mereka berkata, tahap psikologi Manning memainkan peranan penting dalam proses penyembuhannya.

"Secara emosi, beliau baik. Saya kagum dengan cara Manning mengendalikan perkara ini. Beliau seorang yang positif.

"Beliau mahu keluar dan tidak mahu berada dalam bayang-bayang lagi," kata salah seorang ketua pasukan mengandungi 50 pakar bedah yang melakukan prosedur itu, Dr Curtis Cetrulo, pada sidang akhbar.

Manning, yang masih bujang dan tidak mempunyai anak, tidak hadir pada sesi itu tetapi berkata dalam kenyataan: "Hari ini, saya memulakan bab baru yang dipenuhi harapan peribadi dan harapan bagi orang lain yang mengalami kecederaan alat sulit.

"Dalam berkongsi kejayaan dengan semua orang, harapan saya adalah kita boleh melihat masa depan lebih cerah untuk pembedahan pemindahan jenis ini."

Identiti penderma yang sudah meninggal dunia itu tidak didedahkan. - AP