BEIJING 16 Mei - Kerajaan China semalam, mengkritik laporan tahunan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) terhadap ketenteraan negara itu.

Dalam laporan kepada Kongres berkaitan aktiviti ketenteraan Beijing, jabatan itu berkata, China dijangka menambah infrastruktur tentera lebih besar termasuk sistem komunikasi dan pengawasan ke pulau buatan di Laut China Selatan, tahun ini.

Jurucakap Kementerian Pertahanan, Yang Yujun menyatakan rasa tidak puas hati dan tentangan penuh ke atas laporan Pentagon dan menyifatkan ia telah memusnahkan rasa saling percaya.

"China mengikut dasar pertahanan negara yang defensif dalam alam semula jadi.

"Pembangunan dan pembaharuan ketenteraan bertujuan mengekalkan kedaulatan, keselamatan dan keutuhan wilayah serta menjamin pembangunan negara yang aman," katanya dipetik agensi berita Xinhua.

Laporan Pentagon menyebut, rancangan tambahan infrastruktur ketenteraan berkenaan akan memberi Beijing pangkalan awam tentera dalam jangka masa panjang di wilayah perairan dipertikaikan.

Ia menganggarkan kerja penambakan bertambah lebih 1,300 hektar, selain mendakwa China telah menyempurnakan usaha penambakan utama Oktober lalu, yang dilihat mengalih tumpuan kepada pembangunan infrastruktur termasuk tiga lapangan terbang kecil. - Reuters