NEW DELHI 14 Mei - Lelaki bersenjata menembak mati dua wartawan dalam dua kejadian berasingan di India dalam tempoh 24 jam lalu, pembunuhan kakitangan media terbaharu di negara Asia paling berbahaya untuk wartawan itu.

Ketua biro tempatan untuk akhbar harian bahasa Hindu, Hindustan, Rajdeo Ranjan sedang menaiki motosikal di negeri Bihar, lewat semalam apabila ditembak lima das oleh sekumpulan penyerang yang tidak dikenali.

"Beliau ditembak dari jarak amat dekat. Kami mengejarkan beliau ke sebuah hospital dan mangsa diisytiharkan mati sebaik tiba malam tadi," kata Ketua Polis Daerah Siwan, Saurabh Kumar Sah.

Sah berkata polis masih belum menentukan motif pembunuhan itu, namun dua ditahan untuk soal siasat.

Sebelum itu, wartawan penyiaran Akhilesh Pratap Singh juga ditembak mati oleh penyerang tidak dikenali semasa menunggang motosikal balik ke rumahnya di negeri Jharkhand yang bersempadan dengan Bihar.

"Kami tidak memperoleh saksi kejadian lagi. Namun kami mengesyaki penyerang juga menunggang motosikal," kata akhbar Indian Express memetik pegawai kanan polis, Upendra Prasad. - AFP