SOLO 12 Mei - Seorang doktor haiwan wanita maut dilibas dengan gading gajah sebelum dipijak selepas merakamkan gambar selfie dengan haiwan itu di sebuah pusat perlindungan yang juga destinasi pelancongan popular, di sini, semalam.

Octavia Warahapsari, 25, maut di tempat kejadian selepas diserang seekor gajah jantan Sumatera yang dirawatnya di pusat perlindungan Gajah Mungkur.

Agensi berita melaporkan sebelum kejadian itu, Octavia bersama tiga gembala gajah memberi makan dan memandikan satu pasangan gajah yang baru dipindahkan ke pusat itu pada April lalu.

Pegawai pelancongan Wonogiri, Senthot Sujarwoko berkata mereka kemudian membawa dua gajah itu bersiar-siar di taman berkenaan sebelum Octavia mahu merakamkan gambar selfie dengan gajah jantan.

“Gajah itu tiba-tiba melibas Octavia dengan gadingnya menyebabkan mangsa terpelanting tiga meter.

“Octavia bangun dan cuba berlari, tetapi dia terjatuh sebelum gajah berkenaan terus meluru lalu memijaknya,” katanya.

Tindakan gajah itu turut menyebabkan seorang gembala yang berada di atas haiwan berkenaan terjatuh.

Menurut petugas di pusat berkenaan, Octavia gemar bergambar selfie dengan gajah yang dirawatnya sebelum memuat naik gambar itu di laman sosial.