LONDON 5 Mei - Seorang ahli parlimen pembangkang, Sadiq Khan dijangka dipilih sebagai Datuk Bandar London, hari ini dalam perkembangan yang menyaksikan cengkaman pemerintah terhadap pusat kewangan Britain itu kian lemah selepas kempen Parti Konservatif menggunakan tuduhan anti-semitik dan pelampau.

Perlumbaan untuk jawatan itu mempertemukan Khan, 45, anak seorang pemandu bas yang membesar di perumahan awam daripada parti Buruh dengan anak hartawan perbankan dengan pendidikan elit, Zac Goldsmith, 41, daripada parti Konservatif.

Namun bukan latar belakang sosial mereka menjadi tumpuan, sebaliknya wujud tuduhan berkaitan status Islam Khan dan anti-Semitik di terhadap Parti Buruh yang mendominasi kempen bagi menggantikan Datuk Bandar Boris Johnson daripada Parti Konservatif di ibu negara Britain itu yang mempunyai 8.6 juta penduduk.

London yang menempatkan daerah kewangan Britain, maka Datuk Bandar London bertanggungjawab menjaga keselamatan, pengangkutan, perumahan dan alam sekitar.

London adalah tumpuan utama dalam pilihan raya tempatan yang dianjurkan di seluruh Scotland, Wales dan utara England. Ramai pengundi tidak menghiraukan tuduhan terhadap Khan, menyaksikan beliau meraih kedudukan pendahulu dalam tinjauan pendapat, ketika tempoh kempen hampir tamat.

Dalam satu perdebatan hangat di parlimen semalam, Perdana Menteri British David Cameron menuduh Khan berkongsi satu platform dengan pelampau yang mahukan orang Yahudi lemas di lautan.

Pemimpin Parti Buruh, Jeremy Corbyn bertindak balas mendakwa Parti Konservatif cuba memburukkan Khan. Katanya, salah satu individu yang dituduh Cameron berkongsi platform dengan Khan turut mempunyai hubungan rapat dengan Goldsmith.

Khan yang mungkin menjadi Datuk Bandar beragama Islam pertama London berkata, beliau menentang ektrimis sepanjang hidupnya dan beliau menyuarakan kekecewaan kerana terpaksa berkongsi pentas dengan tokoh yang mempunyai pandangan terkutuk. - Reuters