NEW YORK 4 Mei - Ketua agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin (UNRWA) berharap Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Kuwait dapat memberi sumbangan AS$80 juta (RM318 juta) bagi memastikan 500,000 kanak-kanak lelaki dan perempuan boleh memulakan persekolahan penggal seterusnya Ogos ini.

Pierre Krahenbuhl memberitahu sidang akhbar tiga negara Teluk itu berbuat demikian tahun lalu, apabila agensi berkenaan kekurangan dana sebanyak AS$101 juta (RM402 juta) dan berharap kerajaan terbabit 'meneruskan sifat pemurah mereka tahun ini.'

"Jika boleh berbuat demikian, kami mampu mengelakkan satu lagi krisis musim panas ini," katanya.

Krisis dana tahun lalu hampir menyebabkan kelewatan memulakan penggal persekolahan.

UNRWA mengendalikan 700 sekolah bagi pelarian Palestin dengan 22,000 kakitangan di Tebing Barat, Gaza, Jordan, Lubnan dan Syria. - AP