BAGHDAD 1 Mei - Sekurang-kurangnya 17 maut dan 35 lagi cedera selepas sebuah bom kereta menyasarkan kumpulan Syiah meletup berhampiran ibu negara, Iraq, semalam.

Menurut sumber keselamatan, serangan berlaku di kawasan kejiranan Nahrawan pada waktu pagi ketika penduduk sedang menuju ke utara Kadhimiya untuk menghadiri majlis memperingati ulang tahun ketujuh kematian syahid Imam Musa ibn Jafar al-Kazim.

"Angka kematian dijangka meningkat kerana beberapa mangsa cedera kini berada dalam keadaan kritikal," katanya dipetik Press TV.

Sehingga kini, tiada individu atau kumpulan mengaku bertanggungjawab mendalangi serangan berkenaan.

Kelmarin, beberapa orang awam terbunuh dalam serangan berasingan di seluruh negara termasuk seorang pegawai polis yang ditembak mati lelaki bersenjata tidak dikenali di bandar Tarmiyah, terletak kira-kira 50 kilometer di utara Baghdad.