Norhasniza Hassan yang juga merupakan isteri kepada kumpulan lagenda rock, Amy Search mengakui tindakannya memarahi pemain drum kumpulan itu, Yazit baru-baru ini. Namun ianya berlaku kerana beliau ingin mempertahankan segala tuduhan yang dilemparkan terhadap kumpulan Search yang didakwa sebagai penipu.

“Siapa-siapa pun yang memburukkan keluarga terutamanya suami, saya akan bertindak mempertahankan maruah keluarga kami. Dia bukan sahaja memulakan pertengkaran tersebut malah menuduh suami saya penipu dan anggota Search yang lain sebagai pecah amanah”

“Saya tidak boleh tahan lagi dan bertindak memarahi dia semula kerana ingin memberi kesedaran kepada dia tentang tuduhan tersebut adalah salah,” katanya kepada m Star Online ketika ditanya mengenai dakwaan Yazit sebelum ini yang ditengking akibat bertanya tentang bayaran.

Norhasniza atau mesra disapa dengan panggilan Nourish berkata, apa yang dituduh oleh Yazit sudah keterlaluan sehingga secara tidak langsung telah menyentuh maruah keluarganya. Apa lagi apabila beliau sendiri mula melemparkan kata-kata kesat dan menuduh suaminya penipu dan ahli kumpulan Search pecah amanah.