Terkilan dengan kritikan daripada segelintir penulis blog yang menyatakan lagu Pencuri Hati sebagai sebuah karya tidak berkualiti, Ayda Jebat meminta agar orang ramai lebih menghargai sesuatu karya yang dihasilkan oleh anak seni dan tidak hanya tahu mengkritik.

“Mereka hanya tahu menghentam saja, mereka patutnya belajar hormati kerja orang lain biar nanti orang lain akan respek kerja mereka pula. Untuk buat sesuatu lagu bukan mudah, banyak pihak yang terlibat berkorban masa untuk menghasilkannya,” jelasnya kepada mStar Online.

Bagaimanapun, Ayda turut mengakui bahawa beliau sebenarnya tidak mengambil tahu tentang kritikan-kritikan yang hanya bertujuan melunturkan semangatnya sebagai seorang penyanyi. Malah tidak semua dakwaan pengkritik itu mewakili suara semua masyarakat.

Sebelum ini, penyanyi dan pelakon itu juga menyedari bahawa ada sesetengah pihak yang tidak senang dengan personalitinya, namun baginya cukuplah sekadar mereka menyukai lagunya. Pun begitu, beliau berharap hasil karyanya mampu memperluaskan lagi kolompok peminatnya.