KUALA LUMPUR 22 Mei - Umat Islam yang mahu menceburi skim pelaburan seperti emas dan saham perlu merujuk kepada penasihat syariah yang bertauliah terlebih dahulu untuk mengelakkan unsur riba.

Pensyarah Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Dr Aznan Hasan berkata ini disebabkan terdapat banyak skim pelaburan yang ditawarkan sama ada daripada individu atau syarikat tertentu yang tidak berlandaskan syarak.

"Ada dalam kalangan pelabur yang mendakwa sistem atau produk mereka mematuhi syariah tetapi pada hakikatnya ia tidak wujud berikutan mereka gagal atau tidak melantik mana-mana penasihat syariah.

"Sebagai orang Islam, setiap pelaburan yang dilakukan perlu patuh syariah kerana jika tidak, dibimbangi hasil pelaburan itu mempunyai unsur riba," katanya.

Beliau ditemui pada majlis Simposium Riba' 2016 anjuran bersama Al-Naqiy Islamic Solutions Sdn Bhd dan Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) di sini.

Simposium selama sehari itu bertujuan berkongsi pandangan dalam pelbagai bidang berkaitan perbankan, pelaburan, harta dan zakat dengan lebih 300 peserta yang terdiri daripada pelajar dan orang awam.

Ketua Pegawai Syariah Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd Nazri Chik pula berpendapat umat Islam mudah tertipu dengan skim pelaburan tidak berlesen.

"Pelesenan dibuat oleh pengawal selia seperti Bank Negara yang bertujuan menjaga kemaslahatan ummah serta memastikan setiap transaksi yang dilakukan mematuhi tuntutan syariah dan beretika.

"Bagaimanapun, aspek ini tidak ramai yang ambil peduli disebabkan mereka (pelabur) ghairah mengejar pulangan (keuntungan) semata-mata," katanya.