KUALA LUMPUR 19 Mei - Datuk Seri Nazir Razak tidak menyalahgunakan kedudukannya sebagai Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group bagi aktiviti perbankan berkaitan akaun peribadinya seperti yang dilaporkan Wall Street Journal (WSJ).

Malah, tidak ada sebarang penggunaan yang tidak sesuai sumber bank berlaku, demikian mengikut hasil semakan semula yang dijalankan Lembaga Pengarah CIMB Group Holdings Bhd dan CIMB Bank Bhd.

Justeru itu, Lembaga Pengarah kumpulan perbankan kedua terbesar negara itu mengumumkan Nazir akan memulakan semula tugasnya sebagai Pengerusi CIMB Group dan Pengarah CIMB Bank, berkuat kuasa hari ini.

Ia sekali gus menandakan selesainya semakan semula komprehensif yang dijalankan Lembaga Pengarah bermula 5 April lalu mengenai aktiviti perbankan berkaitan akaun peribadinya, seperti dilaporkan Wall Street Journal pada 31 Mac lalu.

Mengulas lanjut mengenai hasil semakan semula itu, CIMB Group menyatakan pemeriksaan terperinci yang dijalankan semasa semakan semula itu mendapati terdapat beberapa kelemahan proses.

Justeru, Lembaga Pengarah CIMB Group mengarahkan pihak pengurusan untuk memasukkan ke dalam pelan bagi penambahbaikan segera serta memperkukuhkan peraturan dalaman dan proses bagi mengelakkan pengulangan pada masa depan.

Pengarah Bebas Kanan dan Pengerusi Jawatankuasa Audit CIMB Group, Datuk Mohd Nasir Ahmad, berkata Lembaga Pengarah mengalu-alukan Nazir untuk kembali bertugas.

Beliau yang mewakili Lembaga Pengarah menegaskan pihkanya komited untuk mengekalkan standard tertinggi tadbir urus korporat dalam organisasi itu dan keputusan diambil adalah pendirian kukuh dalam memenuhi tanggungjawab berkenaan.

"Selain hasil semakan semula itu, Lembaga Pengarah juga mengambil kira undi percaya pemegang saham untuk Nazir terus menjadi Pengerusi pada Mesyuarat Agung Tahunan 2016 dan juga rekod prestasi khidmat beliau untuk kumpulan dalam pelbagai jawatan sejak 1989, dalam membuat keputusan itu," katanya.

INFO

- Nazir ambil cuti secara sukarela daripada tugasnya sejak 19 April lalu.

- Beliau bertindak demikian bagi memastikan semakan semula bebas yang lengkap dan berintegriti.

- Messrs. Ernst & Young dilantik sebagai juruaudit luaran untuk bantu semakan itu supaya ia lebih bebas dan telus.