LONDON 18 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengingatkan kesan buruk terhadap ekonomi dunia sekiranya United Kingdom (UK) memilih untuk berpisah daripada Kesatuan Eropah (EU).

Pada 23 Jun ini, rakyat Britain akan memutuskan sama ada untuk kekal atau melepaskan keahlian dalam EU.

Pungutan suara berkaitan kempen yang dirujuk sebagai `Brexit' itu menyebabkan Britain berpecah dua.

Kumpulan menyokong Brexit mahukan UK meninggalkan EU, susulan krisis migrasi di Eropah dan kelemahan ekonomi EU.

Menjawab soalan media pada akhir lawatan kerja lima harinya ke London, Najib berpendapat, ekonomi dunia akan terjejas jika UK memilih untuk bersendiri tanpa EU.

"Saya rasa kesannya bukan saja buruk terhadap UK tetapi juga pasaran global. UK adalah sebahagian daripada Pasaran Umum dan saiznya amat signifikan.

"Britain akan menjadi kurang berdaya saing jika keluar daripada EU. Ekonomi adalah berasaskan perkhidmatan dan perkhidmatan adalah bahagian terbesar dalam ekonomi Eropah. Jika UK keluar dari Eropah, kesannya amat negatif terhadap ekonomi," katanya di sini, hari ini.

Najib turut menyentuh isu itu ketika berucap pada pembukaan pejabat wilayah Khazanah Nasional Berhad di sini, semalam.

Perdana Menteri berkata, Malaysia memberi sokongan moral kepada UK untuk kekal bersama EU.

"Anda mempunyai sokongan moral kami. Ia baik untuk UK dan ia juga elok untuk seluruh dunia. Kita harapkan yang terbaik," katanya.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Bagi Perniagaan, Inovasi dan Kemahiran UK, Sajid Javid; Datuk Bandar London yang baru dipilih, Sadiq Khan dan kira-kira 150 penggerak perniagaan serta pelabur UK dan Malaysia.

Dalam ucapannya, Sadiq mengalu-alukan langkah Khazanah menjadi London sebagai pangkalannya di Eropah.

"Kami harap ia kekal sebagai ibu pejabat Khazanah selepas 23 Jun (tarikh pungutan suara)," katanya yang menyebabkan hadirin ketawa.

Sementara itu, Javid memuji kejayaan ekonomi Malaysia yang diikutinya secara dekat dan teliti ketika bertugas sebagai pegawai pelaburan bank di Singapura.

"Saya menyaksikan sendiri bagaimana rancaknya Malaysia membangun. Ia adalah negara berbilang kaum yang sederhana, dengan ekonomi yang pesat berkembang dan berpandangan jauh," katanya.

Beliau turut berkunjung ke Kuala Lumpur bagi mengetuai misi dagangan UK, tahun lalu.

"Saya dapat rasakan ia adalah negara yang mencapai pelbagai kejayaan. Ia bercita-cita tinggi, bertaraf antarabangsa dan semestinya, amat berjaya.

"Justeru, saya gembira melihat anda (Khazanah) membuka pejabat pertama di UK bagi pangkalan Eropah," katanya.