SINGAPURA 16 Mei - Harga minyak meningkat dalam dagangan awal Isnin apabila output di Nigeria jatuh manakala kebimbangan mengenai ketidakstabilan politik di Venezuela menyempitkan lagi pasaran.

Bagaimanapun, peningkatan output Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan dolar lebih kukuh mengehadkan kenaikan harga minyak.

Niaga hadapan minyak mentah antarabangsa Brent diniagakan pada AS$48.11 setong menjelang 0148 GMT, meningkat 28 sen, atau 0.6 peratus daripada penutup terakhirnya.

Niaga hadapan West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat (AS) menokok 25 sen, atau 0.5 peratus pada AS$46.46 setong.

Penganalisis berkata, kejatuhan bekalan daripada pengeluar seperti Nigeria, negara benua Amerika dan China meningkat harga minyak, namun mereka menambah bahawa peningkatan dari negara pengeluar lain mengehadkan kenaikannya.

"Minyak bergelut untuk mengekalkan kenaikan hari sebelumnya apabila kembalinya output daripada pengeluar Kanada mengimbangi kehilangan pengeluaran," kata ANZ Bank.

Di Nigeria, syarikat minyak gergasi Exxon Mobil menggantung eksport daripada saluran minyak mentah terbesar negara itu, Qua Iboe manakala pengeluar lain seperti Royal Dutch Shell dan Chevron turut mengalami gangguan susulan tindakan sabotaj.

Ia mengurangkan output ke paras terendah dalam tempoh sedekad hanya sebanyak 1.65 juta tong sehari (bpd).

Di negara Amerika, Venezuela dilihat menghampiri ketegangan politik dan ekonomi, mencetuskan kebimbangan syarikat minyak negaranya, PDVSA gagal menyelesaikan hutang bernilai AS$5 bilion dalam bayaran bon tahun ini.

Pengeluaran minyak Venezuela sudah pun jatuh sehingga 188,000 bpd sejak awal tahun ini apabila PDVSA berhadapan masalah untuk membuat pelaburan yang diperlukan bagi mengekalkan output. - REUTERS