KUALA LUMPUR 12 Mei - 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada Rabu berkata ia difahamkan bahawa pihak International Petroleum Investment Company (IPIC) sudah membuat bayaran faedah sebanyak AS$52.4 juta yang matang, membabitkan nota AS$1.75 bilion dengan kadar tetap 5.99 peratus dan matang pada tahun 2022 serta diterbitkan oleh 1MDB Energy Ltd (Nota Tenaga).

"Walaupun 1MDB memiliki dana yang lebih daripada mencukupi untuk membuat bayaran faedah itu, ia setakat ini belum melakukannya untuk Nota Tenaga itu dan bagi bayaran faedah awal untuk nota AS$1.75 bilion berkadar tetap 5.75 peratus yang matang pada 2022 dan diterbitkan oleh 1MDB Energy (Langat) Ltd (Nota Langat)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut 1MDB, ia disebabkan pertikaian antaranya dengan IPIC ketika ini.

"Semua hak 1MDB adalah terpelihara berikutan pertikaian itu," jelasnya.

Syarikat pelaburan strategik itu turut menegaskan bahawa ia komited untuk bekerjasama secara terbuka dengan IPIC bagi menamatkan pertikaian itu.

"1MDB juga baru-baru ini sudah memulakan proses rundingan dengan para pemegang bonnya yang menggunakan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) dan menggalakkan mereka untuk mendaftar di laman mikronya iaitu http://sites.dfkingltd.com/1MDB," katanya.

Laman berkenaan mengandungi semua maklumat berkaitan, termasuk perkembangan yang dikemaskini untuk pemegang bon.

Selepas mendaftar, mereka boleh mengemukakan soalan secara dalam talian menerusi laman web itu, katanya.

"Malah, pertemuan bagi semua pemegang bon dalam denominasi dolar AS itu akan diadakan pada 23 Mei ini," kata kenyataan itu.