KUALA LUMPUR 4 Mei - Malaysia akan menerajui penubuhan dana teroka Islam pertama di dunia dengan dana permulaan mencecah AS$100 juta.

Ia bakal dilaksanakan bersama Islamic Development Bank (IDB) yang berpangkalan di Jeddah, Arab Saudi dan dijangka dimuktamadkan bulan ini.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah, berkata dana teroka itu adalah untuk membantu syarikat permulaan baharu di Malaysia dan negara Islam lain untuk mendapat dana.

Beliau berkata, Malaysia Venture Capital Bhd kini dalam proses untuk memuktamadkan mengenai pembentukan dana teroka itu dengan IDB.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Elevate yang diperkenalkan oleh Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi MDV, Tan Sri Zarinah Anwar dan Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif MDV, Datuk Zubir Ansori Yahaya.

Program Elevate adalah program berbentuk bimbingan yang dijalankan selama 12 bulan.

MDV akan memilih 20 syarikat untuk dibimbing dan dilatih daripada 8,000 syarikat baharu berasaskan teknologi yang mana adalah sebahagian komuniti keusahawanan di Malaysia.