KUALA LUMPUR 3 Mei - Pemulihan harga minyak kebelakangan ini akan membantu kerajaan mencapai sasaran defisit fiskal 3.1 peratus bagi 2016.

MIDF Research dalam notanya berkata, pada Januari lalu kerajaan mengumumkan pengubahsuaian Bajet 2016 kepada Parlimen bersandarkan kepada dua kemungkinan senario harga minyak iaitu AS$35 satu tong dan AS$30 setong.

"Justeru, ini bermakna harga minyak sekarang secara puratanya berada di atas kedua-dua unjuran berkenaan setakat tahun ini," kata firma penyelidikan itu.

Bagi bulan April, harga minyak mentah secara puratanya adalah AS$43 setong dan setakat tahun ini, harga minyak Brent mencecah AS$37.1 setong, lebih tinggi berbanding unjuran harga optimis yang diletakkan oleh kerajaan (AS$35 setong) seperti yang diumumkan pada pengubahsuaian Bajet 2016.

Dalam masa sama, kenyataan kurang agresif yang dikeluarkan oleh Rizab Persekutuan (Fed) membolehkan harga komoditi mencatatkan rali apabila pelabur mengambil kira kesan dolar yang lebih lemah pada masa hadapan.

MIDF Research berkata, walaupun sasaran fiskal dijangka dapat dicapai, arah aliran kenaikannya dijangka terhad memandangkan harga minyak diunjurkan berada pada purata AS$40 setong sepanjang tahun ini.

Ia menjelaskan, rali semasa harga minyak mempunyai had kenaikan kerana lambakan bekalan masih kekal menjadi satu ancaman walaupun permintaan terhadap komoditi berkenaan meningkat disebabkan suasana ekonomi global yang semakin bertambah baik.

"Faktor terhad itu bergantung kepada pengeluar minyak syal Amerika Syarikat (AS) kerana mereka dijangka akan membuka semula pelantar yang ditutup sebelum ini sebaik saja harga minyak melonjak lebih tinggi.

"Pada harga lebih tinggi, operasi menjadi lebih berdaya maju dan menguntungkan," katanya.

Sementara itu, prestasi eksport dalam dua bulan pertama tahun ini adalah lemah apabila menguncup 2.8 peratus pada bulan Januari dan hanya berkembang 6.7 peratus pada Februari.

Secara purata, eksport hanya mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 1.5 peratus dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini.

MIDF berkata, tinjauan bagi prestasi eksport bulan Mac pula agak suram memandangkan rakan dagang utama Malaysia hanya menunjukkan sedikit isyarat pemulihan.

Berikutan itu, katanya pengukuhan fiskal boleh terjejas jika ekonomi berkembang lebih perlahan daripada jangkaan.

"Begitupun, jika tiada aral melintang, Malaysia akan mendapat manfaat daripada harga minyak lebih tinggi. Kami menganggarkan defisit fiskal akan bertambah baik kepada 2.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 3.2 peratus yang dicatatkan tahun lalu.

"Ia 0.3 peratus lebih tinggi berbanding anggaran defisit fiskal 3.1 peratus yang diunjurkan oleh kerajaan semasa pengubahsuaian Bajet," katanya.