KUALA LUMPUR 1 Mei - Beliau sering tampil berbaju kurung biru dengan paparan wajah tenang dan bersahaja, namun wanita ini lebih sinonim dengan ketegasannya sebagai gabenor sehinggakan diyakini serta disegani oleh masyarakat.

Tugas digalasnya sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) juga sukar - mengimbangi cabaran pengurusan termasuk menangani satu demi satu krisis kewangan, namun ia sedikit pun tidak menjejaskan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang terus mengekalkan reputasi cemerlangnya sehinggalah pada detik-detik akhir

tempoh 16 tahun mengemudi bank pusat berkenaan.

Bergelar gabenor wanita pertama Malaysia, Zeti disifatkan sebagai berkelayakan memikul tanggungjawab itu, malah sering dirujuk ketika tempoh sukar bagi menepis cabaran yang bertandang.

Namun pujian yang diterima enggan dibolot sendirian, sebaliknya beliau berulang kali menegaskan "ia adalah hasil kerja dan usaha secara berpasukan."

Zeti sememangnya mengagumi kegigihan dan komitmen para pekerja BNM menjayakan mandat bank pusat itu dan atas dasar itu, kejayaan yang datang enggan dikaitkan atas kapasitinya sebagai individu.

"Saya tidak melakukannya secara sendirian, sebaliknya disokong pasukan yang padu," katanya sambil memberi jaminan bahawa institusi itu kekal kukuh serta berdaya tahan selepas persaraannya.

Baginya, keupayaan mengurus cabaran, termasuk krisis adalah antara pencapaian BNM selain kejayaan aspek penyepaduan kewangan serantau dan pembangunan kewangan Islam yang diiktiraf kalangan masyarakat antarabangsa.

"Sudah pasti ia sesuatu yang menggembirakan apabila dapat menyaksikan (pencapaian) itu sepanjang tempoh kerjaya. Namun, ini hasil usaha berkumpulan dan saya amat bertuah dapat mengetuai pasukan ini," katanya.

Mengulas antara perkara yang diharapkan mampu disempurnakan BNM, Zeti berkata : "Saya berharap yang kita dapat menyegerakan usaha peralihan kepada e-pembayaran. BNM sendiri turut mengutamakan perkara ini kerana manfaatnya yang besar."

Sudah pasti, antara pertanyaan yang sering dilontarkan kepada wanita ini adalah mengenai penggantinya.

Malah, sewaktu menghadiri majlis taklimat untuk pengarang kanan sebelum ini, Zeti menegaskan penggantinya itu seharusnya diterima pasaran.

"Ia lebih kepada bagaimana orang ramai berkeyakinan bahawa anda melakukan perkara betul dan anda berupaya melakukannya serta keyakinan mereka bahawa anda boleh melakukannya," tegasnya.

Ternyata, gambaran itu menepati legasi dirinya sebagai gabenor yang bukan setakat diterima pasaran mahupun kalangan penggiatnya, malah ulasan serta respon Zeti terhadap sebarang isu berbangkit, sememangnya sesuatu yang dinantikan.

Malah, penggantinya iaitu Datuk Muhammad Ibrahim juga memiliki kemampuan itu selain dihormati dan dipercayai oleh industri kewangan.

Bagi prospek masa depan, Zeti memberi jaminan bahawa BNM berada pada kedudukan kukuh berikutan asasnya yang berpaksikan kekuatan barisan tenaga pekerjanya.

BNM turut melabur dalam pembangunan modal insan secara berterusan bagi memastikan kakitangannya sentiasa memiliki pelbagai kemahiran, cekap, komited serta tinggi nilai integriti.

Zeti adalah graduan jurusan ekonomi Universiti Malaya dan memperolehi Ijazah Doktor Falsafah daripada University of Pennsylvania, Amerika Syarikat.

Memulakan kerjaya beliau sebagai penyelidik ekonomi di Pusat Latihan dan Penyelidikan Bank Pusat Asia Tenggara (SEACEN) dari tahun 1979 hingga 1984, beliau menyertai BNM pada 1985 dan menjadi Gabenor yang ketujuh pada Mei 2000, jawatan yang dipegang hingga akhir April 2016.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Perwakilan BNM di London, bertugas sebagai Ketua Pakar Ekonomi dan Ketua Jabatan Ekonomi BNM dan dilantik Timbalan Gabenor yang bertanggungjawab untuk ekonomi, pengurusan rizab, operasi pasaran wang dan asing serta kawalan pertukaran.

Ketokohan Zeti menyerlah berikutan keberanian beliau semasa kemuncak krisis kewangan Asia, yang menyaksikan pelantikannya sebagai Pemangku Gabenor pada 1 September 1998, jawatan yang dipegang selama dua tahun.

Beliau dan pasukannya mempunyai peranan penting dalam menguruskan sistem kewangan semasa krisis tersebut yang akhirnya membawa kepada pemulihan ekonomi Malaysia yang kukuh.

Mekanisme yang diperkenalkannya tidak disenangi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kerana kawalan modal yang diperkenalkan ternyata beralih daripada pendekatan konvensional bagi pengurusan sistem ekonomi dan kewangan, namun terbukti berjaya membantu Malaysia menempuh krisis itu.

"Ia memang sukar bagi sebuah bank pusat di negara sedang pesat membangun untuk beralih daripada konvensional. Anda perlu benar-benar pasti bahawa sebagai sebuah organisasi, kita berdiri atas asas yang kukuh dan pasti dengan matlamat yang ingin dicapai selain memiliki keupayaan untuk merealisasikannya," katanya yang dipetik sebelum ini.

Bukan sahaja beliau telah membantu memacu ekonomi melalui krisis kewangan Asia 1998 dan menghadapi krisis kewangan global 2009, beliau turut mendapat pujian sebagai suara ekonomi sedang pesat membangun yang mahu mereka mempunyai peranan lebih besar dalam ekonomi global.

Beliau dan pasukannya turut terlibat dalam transformasi sistem kewangan Malaysia, menjadikannya kukuh, stabil dan berdaya tahan untuk menghadapi ketidaktentuan dan kejutan masa depan.

"Pusat pertumbuhan masih bertumpu di negara sedang pesat membangun. Walaupun kita memperakui penyederhanaan dalam pertumbuhan di negara sedang pesat membangun, kita masih mewakili pusat pertumbuhan dalam ekonomi global," kata beliau baru-baru ini.

Dilahirkan di Johor Bahru pada 27 Ogos, 1947, Zeti merupakan anak tunggal kepada tokoh ilmuwan terkenal, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz dan tokoh budayawan negara, Allahyarham Sharifah Azah Mohamed Alsagoff atau lebih dikenali sebagai Puan Azah Aziz.

Bapanya yang lebih dikenali sebagai Ungku Aziz adalah bekas Naib Canselor Universiti Malaya dari 1968-1988, ahli akademik dan ahli ekonomi terkenal, merupakan individu yang bertanggungjawab mengilhamkan penubuhan Tabung Haji yang telah membantu ramai umat Islam dalam menunaikan ibadah haji.

Ibu beliau, Allahyarham Puan Azah Aziz, seorang ikon budaya Melayu yang terkenal dan dihormati yang memperjuangkan dalam memelihara budaya Melayu tradisional sebenar.

Allahyarham turut dikenali dengan penampilannya yang sering berbaju kurung, ciri yang turut diterapkan kepada anak perempuannya.

Seiringan Zeti dalam sektor kewangan, keluarga ini selayaknya mendapat penghargaan daripada rakyat Malaysia di atas sumbangan cemerlang mereka kepada masyarakat dan negara.

Sementara itu, antara pengiktirafan kepada Zeti termasuklah terpilih sebagai antara Ketua Bank Pusat Terbaik Dunia oleh majalah Global Finance pada 2009, Tokoh Ma'al Hijrah 1432H pada 2010 dan menerima penarafan Gred A untuk ketua bank pusat kali ke-10 oleh majalah kewangan Global Finance.

Beliau berkahwin dengan Datuk Dr Tawfiq Ayman dan mereka mempunyai dua anak.