KUALA LUMPUR 29 April - Dua bintang sensasi badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan akan membuat perhitungan dalam aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (ABC), esok.

Pertembungan epik itu adalah yang pertama membabitkan kedua-dua pemain berkenaan tahun ini selepas harapan menyaksikan mereka bertemu antara satu sama lain awal tahun ini tidak kesampaian.

Di Seluruh England, jaguh perseorangan negara, Chong Wei tewas di pusingan awal manakala Lin Dan yang juga juara dunia lima kali terkandas di suku akhir Terbuka Malaysia Celcom Axiata.

Terdahulu, Chong Wei mengesahkan kemaraan ke separuh akhir selepas menewaskan pemain Taiwan, Chou Tien Chen 21-16, 21-18 dalam aksi suku akhir di Pusat Sukan Gimnasium Wuhan, China, sebentar tadi.

Lin Dan pula mara selepas mengetepikan cabaran pemain Korea Selatan, Lee Dong Keun 21-15, 21-11.

Kali terakhir pertemuan antara kedua-dua jaguh dunia itu memihak kepada Chong Wei yang mengatasi Lin Dan 17-21, 21-19, 21-19 di Terbuka China, November tahun lalu.

Bagaimanapun, rekod kemenangan masih memihak kepada Lin Dan yang mencatat 25 kemenangan daripada keseluruhan 35 pertemuan dengan Chong Wei sebelum ini.