Kejohanan Badminton Asia (ABC) yang membuka tirai esok peluang terakhir pemain negara meraih mata kelayakan ke Sukan Olimpik Rio, Ogos ini.

Ini kerana tempoh kelayakan Olimpik yang bermula pada 4 Mei tahun lalu akan berakhir pada 1 Mei 2016.

Beregu lelaki, V Shem-Wee Kiong, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran), Vivian Hoo-Woon Khe Wei (beregu wanita) dan perseorangan wanita, Tee Jing Yi perlu menjadikan kejohanan di Wuhan itu sebagai medan kebangkitan untuk mengumpul mata seandainya mahu memperbaiki ranking bagi meraih undian lebih mudah pada temasya tersebut.

Paling perit sudah tentu Khe Wei-Vivian yang perlu mara lebih jauh pada kejohanan kali ini kerana hanya itu mampu mengubah kedudukan ranking mereka yang menduduki tangga ke-17 dunia untuk berada di kelompok 16 terbaik bagi mencari slot ke Olimpik.

Pada masa sama, Khe Wei-Vivian terpaksa mengharapkan pasangan lain di bawah ranking mereka tidak memintas kedudukan sebelum tarikh akhir kelayakan tamat hujung bulan ini

Setakat ini, hanya Datuk Lee Chong Wei berada di kedudukan selamat untuk meneruskan pemburuan emas pertama Olimpik apabila layak melalui kedudukan di ranking kedua dengan pungutan 84303 mata.

Undian sukar

Berdasarkan undian, Khe Wei-Vivian akan membuka cabaran menentang gandingan nombor lapan dunia tuan rumah, Tang Yuanting-Yu Yang.

Andai mereka dapat membuat kejutan, beregu nombor tiga dunia, Nitya Krishinda Maheswari-Greysia Polii dari Indonesia menanti di pusingan kedua.

V Shem-Wee Kiong pula akan membuka kempen menentang lawan dari Singapura, Hee Yong Kai-Loh Kean Hean sebelum pilihan keempat dari China, Fu-Haifeng-Zhang Nan menanti di pusingan kedua.

Chong Wei akan menentang Wang Zhengming dari China manakala Tee Jing Yee diundi bertemu pemain ranking ketujuh dunia yang juga pilihan keenam kejohanan, Wang Yihan dari China untuk acara perseorangan wanita,

Bagi Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen, kesemua pemain perlu berusaha keras dan tidak boleh membuat sebarang kesilapan yang boleh memakan diri tatkala masing-masing bakal bertemu lawan yang sukar.

“Ia sangat penting. Kejohanan ini adalah yang terakhir untuk tempoh kelayakan selepas mereka berjuang selama empat tahun.

“Kini ia semakin hampir. Apa pun, saya yakin kita akan layak pada setiap kategori. Ia nampak baik,” katanya.

Mengenai peluang Khe Wei-Vivian, Frost berkata, sebagai pemain mereka juga harus memainkan peranan.

“Saya harap mereka dapat mara lebih jauh untuk kejohanan terakhir ini,” katanya.