LONDON 21 April – Liverpool Football Club (FC) antara kelab Liga Perdana Inggeris terbaharu tersenarai dalam radar pertimbangan jutawan Asia Barat yang mahu mengambil alih kelab itu pada harga £700 juta (RM3.893 bilion).

Kelab berpusat di Merseyside, England ditubuhkan pada 1892 itu sebenarnya sudah pun cukup stabil di bawah pemiliknya sekarang, John W. Henry dan syarikat pelaburan sukan dari Amerika Syarikat, Fenway Sports Group.

Namun seorang pembida misteri yang dikatakan berasal dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Khalifa Zayed Sultan Al Nahyan yang juga pemerintah atau Emir Abu Dhabi, yakin dapat menyempurnakan pembelian tersebut.

Beberapa buah kelab gergasi di benua Eropah sudah pun berjaya diambil alih pemilik-pemilik dari Arab, antaranya Manchester City FC yang dimiliki Sheikh Mansour, 45; iaitu kerabat diraja Abu Dhabi dan adinda Sheikh Khalifa.

Dilaporkan Sheikh Khalifa yang berusia 68 tahun dan kini memegang jawatan Presiden UAE sejak akhir 2004; mempunyai aset bernilai lebih £30 bilion (RM166.9 bilion) dikatakan individu yang berminat membeli Liverpool.

The Reds dinilai sekitar £650 juta (RM3.6 bilion) selepas Fenway Sports membeli kelab berkenaan daripada pemilik sebelumnya, Tom Hicks dan George N Gillett, pada harga £300 juta (RM1.7 bilion) pada 2010 lalu.

“Secara kebetulan memang tidak ada peraturan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) yang melarang ahli keluarga untuk memiliki kelab berbeza,” kata seorang jurucakap liga tersebut dan enggan dikenali kepada media tempatan.

Sejak ditubuhkan, Liverpool FC pernah memenangi lima kali Piala Eropah, tiga kali Piala UEFA, tiga kali Piala UEFA Super, 18 kali juara EPL, tujuh kali Piala FA, lapan kali Piala Liga dan 15 kali Piala Perisai Komuniti FA.

Kelab ini mempunyai pendapatan tahunan 306 juta euro (RM1.3 bilion) dan dianggap sebagai kelab bola sepak kelapan paling bernilai di dunia iaitu sebanyak AS$982 juta (RM3.8 bilion). – Agensi