MANCHESTER 21 April - Pengendali Manchester United, Loius Van Gaal berang apabila penyokong United dikhabarkan enggan menghadiri perlawanan yang menyaksikan pasukan itu menang 2-0 ke atas Crystal Palace di Old Trafford.

Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mengumumkan sejumlah 75,277 kehadiran direkodkan pada perlawanan itu yang mencerahkan peluang United menamatkan liga dalam kelompok empat terbaik sekali gus layak ke saingan Liga Juara Juara musim hadapan.

Bagaimanapun, jumlah kehadiran itu merangkumi pemegang tiket bermusim tanpa mengira kehadiran mereka namun beberapa kawasan tempat duduk penonton di Old Trafford dilihat kosong.

"Saya tidak nampak kerusi kosong di mana-mana. Tetapi anda lihat sebegitu kerana anda mahu lihat keadaan itu," kata pengendali Belanda itu.

Van Gaal yang meletakkan Wayne Rooney di posisi berlainan, melihat perkembangan pemain England itu dan persembahan meyakinkan selama 75 minit dan bakal meletakkannya dalam kesebelasan utama untuk aksi separuh akhir Piala FA menentang Everton.

"Sekarang dia mampu bermain sehingga 75 minit dan saya dapat lihat perkembangan prestasinya dan saya melakukan perkara yang sama dengan pemain lain seperti Marcos Rojo.

"Dia pemain yang mampu mengubah corak permainan dan saya sukakannya.

"Tiada pemain yang memiliki posisi yang tetap kerana saya meletakkan pemain di posisi yang membolehkan mereka memberikan sumbangan kepada pasukan. Dia (Rooney) bermain di bahagian tengah kerana mahu mengimbangi corak permainan Crystal Palace.

"Saya tidak mahu mengubah posisi Marcus Rashford jadi saya perlu memikirkan posisi yang berlainan buat Rooney. Dia pernah bermain di posisi terbabit musim lalu dan saya gembira dengan apa yang ditunjukkannya." - AFP