MADRID 21 April - Barcelona bangkit daripada persembahan paling buruk mereka dalam La Liga sejak 13 tahun dengan gaya tersendiri apabila Luis Suarez menjaringkan empat gol ketika mereka membelasah Deportivo la Coruna 8-0 awal pagi tadi.

Ivan Rakitic, Lionel Messi, Marc Bartra dan Neymar juga menemui sasaran ketika Barca kembali mengesahkan kawalan mereka dalam pemburuan gelaran liga Sepanyol.

Bagaimanapun hanya kelebihan rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan memihak Barca dari Atletico Madrid di persada liga berbaki empat perlawanan ketika Fernando Torres meneruskan rentak cemerlang dengan membantu kejayaan 1-0 mengatasi Athletic Bilbao.

Real Madrid kekal satu mata di belakang pendahulu ketika jaringan Karim Benzema, Lucas Vazquez dan Luka Modric memastikan kemenangan 3-0 mengatasi Villarreal.

"Kami adalah manusia, kami bukan mesin dan kami semua boleh melakukan kesilapan atau melalui perlawanan yang buruk," kata Suarez kepada stesen televisyen Sepanyol, Movistar+.

"Hari ini menunjukkan bahawa kumpulan ini lebih bersatu berbanding sebelumnya dan terdesak untuk memenangi liga. Ia masih dalam genggaman kami." - AFP