KUALA LUMPUR 13 April - Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan, beliau akan menentang mana-mana rejim yang korup.

Katanya, ia disebabkan tidak ada sesiapa yang benar-benar mengambil berat tentang bola sepak Malaysia kecuali dirinya.

Pemilik Johor Darul Takzim (JDT) itu dalam pada masa sama turut melahirkan perasaan terkejutnya apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan sekutu lain tidak berminat untuk memperbaiki masalah yang melanda bola sepak Malaysia.

“Anda sepatutnya berdiri bersama-sama dan menuntut perubahan. Anda tidak boleh mengubah sesuatu yang anda tidak tahu apa masalahnya,” katanya menerusi Facebook rasmi Johor Southern Tigers.

Menurut Tunku Ismail, cara terbaik untuk seluruh negara mengetahui masalah sebenar bola sepak adalah dengan meletakkannya di kaca televisyen.

“Cukuplah dengan segala perkara yang cuba diselindungkan. Jadilah telus,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak Astro untuk menyediakan platform melalui siaran langsung untuknya berbahas dengan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, wakil FAM, Ketua Jurulatih Kebangsaan Datuk Ong Kim Swee, Pengarah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN), Lim Teong Kim dan Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia, B Sathianathan.

“Untuk berbahas tentang siapa yang bertanggungjawab bagi prestasi buruk pasukan kebangsaan dan bola sepak Malaysia serta apa tindakan selanjutnya yang perlu dilaksanakan.

“Juga dalam program ini, mereka perlu membenarkan para penyokong untuk menyuarakan pendapat mereka dan menanyakan apa-apa soalan yang mereka mahu.

“Suara mereka perlu menjadi keutamaan kerana kita berkhidmat kepada mereka dan mereka mempunyai hak untuk mengetahui kebenaran tentang apa masalah sebenar yang dihadapi oleh bola sepak Malaysia. Saya individu yang telus dan jujur. Ini adalah satu cabaran daripada saya,” tegasnya.

Sabtu lalu, Khairy dilapor menyatakan bukan sesuatu yang mengejutkan apabila skuad bola sepak negara mencatat rekod terburuk apabila terperosok di ranking ke 174 dunia.

Sambil menyifatkan kualiti Harimau Malaysia sudah pun mencapai tahap maksimum, Khairy berkata, pasukan negara seakan tidak boleh lagi menunjukkan peningkatan luar biasa dan semua pihak harus menerimanya.